Pemasaran strategik berjaya tingkatkan purata harga jualan produk Berjaya Food | DagangNews Skip to main content

Pemasaran strategik berjaya tingkatkan purata harga jualan produk Berjaya Food

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Pemasaran strategik dan campuran produk berjaya meningkatkan purata harga jualan (ASP) untuk produk keluaran Berjaya Food Berhad.

 

RHB Research berkata, kumpulan itu juga berjaya mengawal kos dengan sebahagiannya diskong oleh pemerolehan global bahan mentahnya selain itu mereka juga berjaya mengawal tekanan kesan daripada inflasi serta pengkuhan dolar Amerika Syarikat. 

 

Firma itu berkata, Berjaya Food juga memiliki sasaran pembukaan 40 cawangan Starbucks pada FY23 dengan keutamaan diberikan kepada format kedai pandu lalu (50%  daripada kedai baharunya) kerana ia menunjukkan prestasi cemerlang dengan sumbangan 30% untuk hasil FY22.

 

Katanya, kumpulan itu juga sedang berusaha untuk membuka cawangan baharu di kawasan pinggir bandar yang kurang ditembusi, bangunan pejabat dan melalui format pengambilan tepi jalan yang baharu.

 

"Kami juga percaya bahawa promosi agresif minuman bermusim dan pembesaran menghasilkan ASP yang lebih tinggi untuk Starbucks Malaysia selain mengurangkan tekanan kepada margin keuntungan.

 

"Pada masa sama, kami juga menantikan pembukaan kedai pertama Paris Baguette menjelang Disember 2022 dan menjangkakan pendapatan daripada jenama itu adalah minima selepas mengambil kira faktor kerjasama dengan syarikat lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu percaya, prestasi cemerlang yang ditunjukkan sebelum ini, sebahagian besarnya dikaitkan dengan asas perniagaan yang bertambah baik.

 

Katanya, daripada pemulihan Kenny Rogers Roasters (KRR) melalui penutupan kedai yang berprestasi rendah dan rombakan menu kepada penubuhan cawangan pandu lalu yang strategik sepanjang dua tahun kewangan, kumpulan itu dilihat bersedia untuk mencatat pertumbuhan pendapatan yang kukuh.

 

"Keadaan itu dilihat semakin menarik kerana jenama serta kedudukan pasaran Starbucks tidak akan dapat ditandingi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.13 sesaham. - DagangNews.com