Pembangunan loji kuasa hidro di Kelantan tingkatkan portfolio RE Malakoff kepada 100MW | DagangNews Skip to main content

Pembangunan loji kuasa hidro di Kelantan tingkatkan portfolio RE Malakoff kepada 100MW

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - RHB Research mengunjurkan pembangunan tiga loji kuasa hidro di Kelantan akan meningkatkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) Malakoff Corporation Berhad kepada kira-kira 100 megawatt (MW).

 

Firma itu optimis mengenai potensi pembangunan tiga loji kuasa hidro di Kelantan dengan gabungan kapasiti terpasang sebanyak 84MW.

 

"Ini akan meningkatkan portfolio RE kumpulan kepada 100MW, sejajar dengan sasaran jangka panjangnya sebanyak 1,400MW menjelang 2031," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu memeterai perjanjian dasar induk (HOA) dengan Rising Promenade (RPSB), RP Hydro (Kelantan) (RPHK), dan Rising O&M Engineering Services (ROMES) untuk membangun, memiliki, mengendali dan menyelenggara tiga loji tenaga hidroelektrik boleh diperbaharui di Kuala Krai, Kelantan.

 

Tiga loji janakuasa hidro kecil atau SHP itu adalah Kemubu (29MW), Kuala Geris (25MW) dan Serasa SHP (30MW) dengan kapasiti terpasang gabungan sebanyak 84MW.

 

Firma itu berkata, menerusi perjanjian itu, Malakoff akan memiliki 70% saham biasa dalam RPHK dan syarikat operasi dan penyelenggaraan ROMES.

 

"Ia juga akan menyuntik RM250 juta secara progresif ke dalam RPHK untuk saham utama," katanya.

 

Berdasarkan unjuran awal, firma itu berkata, aset itu boleh menambah purata keuntungan bersih RM30–35 juta setahun.

 

“Ini adalah berdasarkan RM1.2 bilion dalam perbelanjaan modal (capex), 70% kepentingan ekuiti, nisbah hutang-ekuiti 80:20, dan 7% kos purata wajaran modal (WACC).

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 86 sen," katanya. - DagangNews.com.