KUALA MUDA 15 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuktikan kepakarannya dalam membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) khususnya loji tenaga solar melalui keupayaan menjana tenaga Solar Berskala Besar (LSS) sekali gus menyokong aspirasi neutral karbon kerajaan.
Syarikat utiliti itu berjaya menyempurnakan pembangunan dan menjalankan operasi dengan cekap untuk dua LSS diamanahkan kerajaan di Sepang, Selangor dan Bukit Selambau, Kedah serta sedang rancak membangunkan satu lagi LSS Bukit Selambau 2 yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Ketiga-tiga projek LSS yang diperolehi melalui bidaan terbuka itu, dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh TNB, TNB Renewables Sdn. Bhd. (TRe) dengan LSS2 Bukit Selambau berjaya dimula tugas 114 hari lebih awal pada 8 September 2020, meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19.
Pengarah Urusan TRe, Mohd. Yusrizal Mohd.Yusof, LSS Bukit Selambau berjaya menjana kira-kira 61,000 MWh atau secara purata 3.7% lebih tinggi daripada Kuantiti Tahunan yang Diisytiharkan (Declared Annual Quantity, DAQ).
“Jumlah tenaga boleh baharu yang dijana ini dapat menampung permintaan tenaga bagi lebih kurang 17,000 rumah setiap hari,” katanya sempena lawatan ke tapak projek LSS berkenaan.
LSS Bukit Selambau dengan kapasiti 30MW di kawasan seluas 50 hektar merangkumi pemasangan 134,880 panel solar fotovoltaik (PV), menjadi satu daripada mercu tanda keupayaan TNB melaksanakan projek LSS dalam menyokong aspirasi negara ke arah kelestarian alam.
TNB mula mendapat kepercayaan Suruhanjaya Tenaga (ST) apabila menjayakan pembangunan LSS1 di Sepang dengan kapasiti 50MW yang mula beroperasi pada 23 November 2018. Pada 2021, TNB melalui TRe memenangi bidaan untuk membangunkan LSS ketiganya berkapasiti 50MW, juga di Bukit Selambau.
Mohd. Yusrizal berkata, LSS Bukit Selambau dan Sepang sehingga kini berjaya menjana tenaga melebihi jangkaan dan masa pihaknya melakukan kajian daya harap, kumpulan itu meletakkan beberapa sasaran dan kedua-duanya berjaya mengatasi sasaran yang ditetapkan disebabkan oleh sinaran matahari yang berada pada paras tinggi untuk tiga tahun.
"Ia boleh berada pada paras yang sedikit rendah tetapi kami pasti dalam tempoh 21 tahun perjanjian pembelian tenaga ini kami akan dapat capai jumlah besar penjanaan seperti yang dirancang," katanya.
Beliau berkata, sebagai pemaju RE, pihaknya sentiasa menjalankan penyelidikan ke atas tapak-tapak yang sesuai dan tidak mengehadkan kepada negeri-negeri di utara walaupun Kedah dan Perlis memiliki kelebihan berbanding negeri-negeri di selatan.
Katanya, antara kelebihan Bukit Selambau adalah dari segi kekuatan tenaga mataharinya sepanjang tahun.
"Kami mencari lokasi yang berhampiran dengan titik sambungan, jadi untuk lokasi ini sangat dekat dan itu adalah lagi satu kelebihan dan jika dilihat di sekitar kawasan ini juga ada beberapa pemaju lain jadi maknanya dari segi kelebihan kawasan ini kepada pemaju solar, ia memang antara kawasan tumpuan," katanya.
Mohd Yusrizal berkata, pelaksanaan LSS dalam industri elektrik negara mendorong kepakaran teknikal TNB dalam peralihan tenaga serta mengetengahkan komitmen kumpulan itu terhadap agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Katanya, pengoperasian LSS Sepang dan Bukit Selambau berjaya menghindari pelepasan kira-kira 89,400 tan karbon dioksida setahun, bersamaan penyerapan 2,106 batang pokok atau pemanduan 22,245 kenderaan berkuasa petrol dalam tempoh sama.
“Ini mengukuhkan lagi peranan sebagai peneraju peralihan tenaga negara, dalam usaha meningkatkan peluang kepada rakyat dan negara untuk menikmati bekalan tenaga bersih dan berdaya harap.
“Dengan pengalaman dan kepakaran yang kami miliki, TRe semestinya ingin menjadi sebuah syarikat perintis yang menjadi tunjang utama pembangunan RE di Malaysia.
"Kejayaan pembangunan projek LSS amat penting untuk memastikan kapasiti RE dapat ditingkatkan,” katanya.
TNB juga menyasarkan untuk mencapai 8,300MW kapasiti pada 2025 (termasuk projek hidro besar), komited untuk menurunkan 35% intensiti pelepasan karbon pada 2035 dalam usaha mencapai karbon sifar menjelang 2050.
Komitmen ini menterjemahkan sokongan TNB kepada aspirasi negara dalam meningkatkan penjanaan RE dengan kapasiti terpasang kepada 31% pada 2025 dan 40% pada 2035.
Sejak Reimagining TNB dilancarkan pada 2016, TNB telah melabur besar-besaran dalam inisiatif RE untuk menyumbang ke arah penjanaan rendah karbon tempatan dan peluang lain di peringkat antarabangsa, dengan amalan berpaksikan ESG dalam perniagaan dan membuat keputusan. - DagangNews.com