Pembelian bon Malaysia oleh pelabur asing berkembang RM7.2 bilion | DagangNews Skip to main content

Pembelian bon Malaysia oleh pelabur asing berkembang RM7.2 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih bon atau sekuriti hutang Malaysia bagi tempoh 10 bulan berturut-turut, dengan aliran masuk berkembang kepada RM7.2 bilion pada bulan lalu berbanding Januari, RM3.7 bilion. 

 

Menurut nota kajian Kenanga Research, jumlah pemegangan bon asing terus meningkat sekali gus mengekalkan paras empat tahun tertinggi.

 

Ini memandangkan penguasaan pemegangan bon asing kepada jumlah sekuriti hutang tertunggak meningkat ke paras tertinggi 34 bulan, tambah Kenanga. 

 

“Ini didorong oleh keyakinan pemulihan diikuti kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 secara beransur-ansur dan kempen vaksinasi Malaysia. 

 

“Pelabur asing juga dilihat tertarik kepada penyebaran kadar hasil hutang tempatan ketika wujudnya penjualan bon perbendaharaan pasaran membangun dan di Amerika Syarikat (AS),” jelas Kenanga.

 

Berdasarkan data firma penyelidikan itu, aliran masuk terbesar dipacu oleh, terutamanya peningkatan bersih pemegangan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII). 

 

Pemegangan MGS menokok kepada RM3.5 bilion daripada RM2.3 bilion pada Januari dengan penguasaan pemegangan asing melonjak kepada paras 13 bulan tertinggi.

 

GII pula mencatatkan pemegangan yang berkembang kepada RM2.1 bilion berbanding RM0.9 bilion pada Januari dengan penguasaan pemegangan asing menokok kepada 7.2%, paras 40 bulan tertinggi.

 

Sebaliknya, pasaran ekuiti pula menyaksikan pelabur asing kekal sebagai penjual bersih bagi 20 bulan berturut-turut, kata Kenanga. 

 

Tambah firma penyelidikan itu, penjualan asing di Bursa Malaysia diteruskan dengan kadar yang agak pantas pada bulan lalu iaitu sebanyak -RM0.9 bilion berbanding Januari, -RM0.8 bilion. 

 

Ini ekoran para pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati walaupun terdapat peningkatan dalam keyakinan pemulihan selain vaksinasi di dalam negara telah bermula, kata Kenanga.

 

“Secara keseluruhannya, pasaran modal mencatatkan portfolio aliran masuk asing yang lebih baik pada Februari, RM6.3 bilion berbanding Januari, RM2.8 bilion, sekali gus menandakan lima bulan aliran masuk berturut-turut. 

 

“Pasaran sekuriti hutang akan terus menarik permintaan pelabur dalam masa terdekat ketika terdapat penyebaran kadar hasil yang baik selain bon AS yang tidak menentu,” ujar Kenanga lanjut.

 

Purata kadar hasil 10 tahun perbendaharaan AS meningkat sebanyak 28 mata asas (bps) kepada 1.34% pada Januari, sementara purata kadar hasil 10 tahun MGS pula menokok 31 bps kepada 2.98%.

 

Ini meningkatkan penyebaran purata kadar hasil kepada 164 bps berbanding 162 bps pada Januari. 

 

Kenanga menjangkakan aliran masuk asing akan berterusan dalam masa terdekat memandangkan perbezaan kadar hasil meletakkan bon tempatan lebih menarik sementara pelabur pula keluar daripada US dan bon pasaran membangun lain ekoran kadar hasil yang tidak menentu. 

 

Dari segi mata wang negara, Kenanga melihat ringgit mungkin menerima tekanan dengan kadar hasil perbendaharaan AS yang meningkat dalam masa terdekat ini, bagaimanapun akan disokong oleh harga minyak yang kian melonjak. 

 

Oleh itu, Kenanga mengekalkan unjuran kadar pertukaran dolar AS kepada ringgit pada 3.95 menjelang hujung tahun ini. 

 

“Di sebalik prospek pertumbuhan yang lebih baik, peningkatan inflasi dan pengedaran vaksin yang lebih meluas, kami melihat ada kemungkinan tinggi untuk Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% bagi sepanjang tahun ini.

 

“Namun, kami percaya masih ada ruang untuk OPR diturunkan sekurang-kurangnya 25 bps sekiranya prospek ekonomi bertambah buruk,” tambah Kenanga. - DagangNews.com