Pembentangan Bajet 2023 penting tingkatkan keyakinan pelabur, rujukan dasar kepada perniagaan - MoF | DagangNews Skip to main content

Pembentangan Bajet 2023 penting tingkatkan keyakinan pelabur, rujukan dasar kepada perniagaan - MoF

KUALA LUMPUR 12 Okt - Walaupun perlu dibentangkan semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu sangat penting bagi memberi keyakinan kepada pelabur dan rujukan dasar kepada sektor perniagaan bagi merancang langkah mengenai prospek ekonomi negara.

 

Kementerian Kewangan berkata, unjuran ekonomi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diterbitkan oleh kerajaan hanya dua kali setahun, iaitu pada Mac dan Oktober setiap tahun selaras dengan bulan pembentangan bajet tahun akan datang.

 

“Jika Bajet 2023 tidak dibentangkan, ini akan meningkatkan sentimen ketidakpastian yang tentunya akan memberi impak negatif kepada keyakinan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Bajet 2023 juga perlu dibentangkan bagi perancangan kewangan yang teratur, iaitu anggaran pendapatan, peruntukan dan perbelanjaan untuk tahun 2023.

 

Kementerian itu berkata, Bajet 2023 juga penting untuk  berkongsi dengan rakyat tentang pelbagai langkah yang telah dirancang oleh kerajaan untuk membantu mereka menghadapi cabaran jangka pendek.

 

Antaranya, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), inisiatif pengurangan cukai dan rancangan pembangunan jangka panjang untuk menambah baik infrastruktur asas dalam dan luar bandar, pengangkutan awam, pendidikan dan kesihatan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

 

bajet

 

“Dengan pembentangan Bajet 2023, kerajaan boleh terus melaksanakannya pada Januari 2023 sebaik sahaja kerajaan dibentuk selepas PRU-15,” katanya.

 

Selain itu, pembentangan Bajet 2023 juga penting sebagai rujukan dasar kepada sektor perniagaan dan pelaburan untuk merancang langkah seterusnya berdasarkan kandungan Bajet 2023, terutamanya mengenai prospek ekonomi negara.

 

Sebagai contohnya, langkah-langkah program Semarak Niaga bernilai RM45 billion yang menyokong perkembangan perniagaan, merangkumi kemudahan pembiayaan, pelbagai insentif cukai untuk menggalakkan industri strategik, serta pengurusan kewangan dan kedudukan fiskal kerajaan penting sebagai panduan untuk membolehkan sektor perniagaan dan pelaburan merencana pelan perniagaan masing-masing, kata kementerian itu.

 

Dari segi rujukan pengalaman lalu, pada Oktober 1999, Bajet 2000 telah dibentangkan dan Parlimen telah dibubarkan sebelum ia diluluskan.

 

Walaupun Bajet 2000 terpaksa dibentangkan semula pada Februari 2000, belanjawan  yang sama telah dibentang dan diluluskan Parlimen. - DagangNews.com