Pembukaan lebih banyak cawangan Starbucks dijangka pacu keuntungan Berjaya Food | DagangNews Skip to main content

Pembukaan lebih banyak cawangan Starbucks dijangka pacu keuntungan Berjaya Food

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - Mercury Securities menjangkakan pembukaan lebih banyak cawangan Starbucks baharu termasuk cawangan pandu lalu akan membantu meluaskan pasaran dan keuntungan Berjaya Food Berhad.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merancang untuk membuka antara 35 hingga 40 cawangan baharu pada FY23 dengan lebih banyak cawangan pandu lalu.

 

Katanya, kumpulan itu menyasarkan pembukaan cawangan baharu kejiranan, komuniti dan bandar-bandar kecil untuk kemudahan pelanggan.

 

"Kami berpendapat bahawa permintaan untuk produk Strabucks dapat dipertingkatkan melalui program Starbucks Reward dengan tawaran lebih banyak reka bentuk kad dengan faedah menarik untuk ahlinya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, Starbucks mencatatkan pertambahan hasil sebanyak 41.4% kepada RM884.2 juta pada FY22.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga berjaya memegang francais Kenny Rogers Roasters di seluruh dunia dengan berkesan berikutan pengambilalihan KRR International Corp, Amerika Syarikat pada April 2008.

 

Firma itu menjangkakan, jualan bagi FY23 akan menjadi lebih kukuh, didorong strategi perniagaan optimum selain inisiatif promosi yang menarik serta kesan yang semakin berkurangan akibat pandemik COVID-19.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.22 sesaham.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk saingan sengit dalam perniagaan makanan dan minuman, sektor runcit kesan daripada kuasa membeli pengguna yang lemah akibat kenaikan kadar faedah, kenaikan inflasi dan sebagainya," katanya. - DagangNews.com