KUALA LUMPUR 16 Julai - Pembukaan semula ekonomi kini menjadi satu-satunya faktor utama yang akan melonjakkan prestasi pertumbuhan negara terutama pada separuh kedua ini.
Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC) berkata, prospek ekonomi Malaysia secara dasarnya bergantung kepada sejauh mana ketatnya sekatan ini akan dilaksanakan.
"Malah, penggunaan swasta, yang merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi akan terjejas terus dalam tempoh terdekat disebabkan sekatan pergerakan yang menyaksikan banyak perniagaan tidak penting ditutup," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
MARC mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah tahun ini pada 3.9% berbanding 5.1% sebelum ini.
Menurut agensi itu, semakan semula itu dibuat setelah mengambil kira pelaksanaan sekatan pergerakan yang masih berterusan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Awal minggu ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia akan menurunkan tinjauan pertumbuhan ekonominya tahun ini berikutan sekatan pergerakan bagi membendung COVID-19.
Beliau memberikan isyarat kerajaan mungkin mengujurkan pertumbuhan sekitar 4% berbanding sasaran kerajaan sekitar 6 hingga 7.5%.
Menurut MARC, pasaran buruh yang tidak menentu turut menjejaskan keyakinan pengguna.
Katanya, kadar pengangguran juga dijangka meningkat beberapa bulan akan datang dan mungkin kekal tinggi sepanjang tahun ini.
"Ini akan menyaksikan perbelanjaan bagi kumpulan isi rumah berpendapatan rendah, terutama yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan akan kekal di bawah tahap pra pandemik untuk jangka masa lebih lama terutama apabila bantuan sokongan berakhir," jelasnya.
Dalam pada itu, tambahnya, perniagaan juga berdepan cabaran dari segi rantaian bekalan dan penurunan permintaan domestik sejak PKP 1.0 tahun lalu.
"Jadi, dengan cabaran operasi perniagaan mungkin menyebabkan syarikat menangguhkan atau membatalkan keputusan pelaburan mereka," katanya.
Agensi itu menjangkakan defisit fiskal tahun ini akan mencecah 6.3% berbanding sasaran kerajaan, 6% sebelum ini.
Pada masa sama, MARC turut menjangkakan, Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75% sepanjang tahun ini. - DagangNews.com