Pemegang saham Aneka Jaringan luluskan semua resolusi semasa AGM termasuk pelantikan semula dua ahli lembaga pengarah | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham Aneka Jaringan luluskan semua resolusi semasa AGM termasuk pelantikan semula dua ahli lembaga pengarah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - Pemegang saham Aneka Jaringan Holdings Berhad meluluskan kesemua resolusi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Keempat kumpulan termasuk melantik semula Datuk Noraini Abdul Rahman dan Wee Kee Hong sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, mereka turut meluluskan pembayaran yuran dan faedah pengarah sehingga RM220,000 dan memberi kuasa kepada lembaga pengarah untuk menetapkan imbuhannya sendiri.

 

Pada masa sama, mereka juga membenarkan lembaga pengarah untuk menerbitkan saham dan meluluskan mandat baru yang dicadangkan bagi transaksi berulang yang berunsurkan pendapatan atau perdagangan.

 

Pemegang saham kumpulan itu juga turut meluluskan audit penyata kewangan untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 bersama-sama dengan laporan pengarah dan juruaudit. 

 

Selain itu, mereka juga meluluskan pelantikan semula Baker Tilly Monteiro Heng PLT sebagai juruaudit kumpulan.

 

Pengarah Urusan Aneka Jaringan, Pang Tse Fui berterima kasih kepada pemegang saham atas sokongan dan keyakinan berterusan terhadap kumpulan terutama ketika mereka berjaya mendapatkan kontrak baharu di Malaysia dan Indonesia.

 

aneka
Pang Tse Fui

 

Beliau juga memberitahu bahawa kumpulan itu sebelum ini berjaya meraih kontrak bernilai RM59.8 juta pada tahun kewangan berakhir 2023 (FY23) dan telah meningkatkan kapasiti di Indonesia dan berusaha memanfaatkan keperluan infrastruktur termasuk di ibu kota yang dikenali sebagai Nusantara.

 

"Kumpulan menyedari risiko dan cabaran berterusan menjejaskan sektor pembinaan. Kenaikan harga tenaga, buruh dan bahan mentah kekal menjadi perhatian dan kami telah mengambil langkah untuk mengurangkan risiko ini seperti menggantikan pekerja luar dengan pekerja asing yang baru diambil kerana kami telah diberikan kuota kerajaan sebanyak 150 pekerja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Aneka Jaringan mempunyai tempahan kontrak sebanyak RM145.73 juta setakat 31 Oktober 2022, dengan operasi Malaysia menyumbang RM138.97 juta dan operasi Indonesia menyumbang RM6.76 juta.

 

Setakat 31 Oktober 2022, tender kumpulan berjumlah RM969.45 juta, dengan tender di Malaysia bernilai RM873.85 juta dan tender di Indonesia bernilai RM95.60 juta. - DagangNews.com