Pemeriksaan kesihatan sempena kempen tingkat kesedaran jalani ujian | DagangNews Skip to main content

Pemeriksaan kesihatan sempena kempen tingkat kesedaran jalani ujian

Tan Sri Muhyiddin pada Program Sembang Santai Bersama Masyarakat di di Kampung Panjang Sari di Pagoh.
oleh Liza Abdullah Yusuf

PAGOH 10 Nov –  Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan di lokasi kempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi peluang orang ramai menjalani ujian sekali gus mengetahui status kesihatan masing-masing.

 

Kemudahan ditawarkan secara percuma itu adalah sebahagian usaha penganjur memberi kesedaran umum akan pentingnya menjaga kesejahteraan tubuh badan.

 

Pegawai perubatan, Dr Kamariah Hassan berkata, orang ramai perlu memanfaatkan kemudahan ini untuk mengetahui tahap kesihatan supaya lebih berjaga-jaga bagi mengelak sebarang penyakit berbahaya.

 

Katanya, pemeriksaan tekanan darah dan ujian kandungan gula dalam darah penting kerana keputusan kedua-dua ini menjadi panduan asas tahap kesihatan individu.


 

parafrasa
Pemeriksaan kesihatan percuma pada program kempen PRU15 tingkat kesedaran pentingnya jalani pemeriksaan secara berkala.

 

parafrasa
Ujian darah dan tekanan darah tinggi adalah pemeriksaan asas mengetahui status kesihatan individu.


 

“Ramai tidak mengetahui mereka menghadapi masalah tekanan darah tinggi dan kandungan gula dalam darah tidak stabil.

 

“Pada ujian ini, jika bacaan darah tidak memuaskan, saya akan menasihatkan mereka menjalani pemeriksaan lanjut di klinik atau hospital berhampiran untuk rawatan susulan,” katanya.

 

Dr Kamariah berkata demikian ketika ditemui pada Klinik Bergerak Pemeriksaan Kesihatan Waqaf An-Nur di Parlimen Pagoh, Muar, di sini hari ini.

 

Perkhidmatan disediakan sempena Program Sembang Santai Bersama Masyarakat oleh Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Panjang Sari di sini. Hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.


 

MPN
Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dua dari kiri, turut hadir pada Program Sembang Santai Bersama Masyarakat di di Kampung Panjang Sari di Pagoh.

 


Pada masa sama juga, Dr Kamariah berkata, pada program itu juga pihaknya memberi panduan  mengenai penjagaan kesihatan diri dan keluarga.

 

“Saya menasihatkan mereka menjalani amalan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman dan mengambil makanan seimbang,” katanya. - DagangNews.com