Pemulihan aktiviti pembuatan bantu pemain industri pembungkusan plastik terima tempahan stabil bagi baki tahun 2024 | DagangNews Skip to main content

Pemulihan aktiviti pembuatan bantu pemain industri pembungkusan plastik terima tempahan stabil bagi baki tahun 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Pemain industri pembungkusan plastik akan menerima tempahan yang stabil bagi baki tahun 2024 disokong pemulihan aktiviti pembuatan dan perbelanjaan pengguna di peringkat global.

 

Kenanga Research berkata, bagi jangka panjang, pemain tempatan dilihat akan memperoleh bahagian pasaran pengeluar luar negara memandangkan struktur kos yang lebih rendah, skala ekonomi lebih baik dan inovasi produk terutama bahan pembungkusan plastik yang mampan.

 

"Kami percaya pemain industri tempatan boleh berkembang pada kadar lebih pantas menerusi perolehan bahagian pasaran daripada pengeluar luar negara disebabkan oleh kos yang lebih rendah berbanding pemain luar negara.

 

"Pemain tempatan memiliki skala ekonomi yang lebih baik dan inovasi produk seperti filem regangan nano dan filem mono yang lebih mesra alam," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pembungkusan plastik digunakan secara meluas merentasi sektor daripada makanan dan minuman (F&B) kepada perdagangan dan logistik, dan oleh itu permintaannya bergantung kepada keadaan ekonomi global.

 

Di samping itu, pertumbuhan jualan dijangka didorong oleh pemain tempatan yang meningkatkan usaha pemasaran mereka, terutamanya, penyertaan aktif dalam pameran perdagangan antarabangsa bagi memperkenalkan produk inovatif mereka seperti filem regangan nano dan filem mono. 

 

"Filem regangan nano terkenal dengan sifatnya yang lebih nipis tetapi kukuh yang membolehkan pelanggan mengurangkan penggunaan filem tanpa menjejaskan kestabilan beban; manakala filem mono ialah filem kitar semula sepenuhnya yang terdiri daripada satu jenis damar plastik.

 

"Produk ini mempunyai daya tarikan yang kuat terutamanya di pasaran maju kerana peraturan kemampanan menjadi lebih ketat," katanya.

 

Kenanga Research memilih Thong Guan Industries Bhd sebagai pilihan utama sektor itu berdasarkan prospek pertumbuhan disokong rancangan perkembangan produk premiumnya, langkah agresif untuk memasuki pasaran Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dengan produk berprestasi tinggi dan inovasi produk mereka.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu.- DagangNews.com