Pemulihan pendapatan Power Seraya, Wessex Water diunjur terus lonjak hasil YTL Power pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Pemulihan pendapatan Power Seraya, Wessex Water diunjur terus lonjak hasil YTL Power pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - RHB Investment mengunjurkan pemulihan pendapatan Power Seraya di Singapura dan Wessex Water di United Kingdom akan terus melonjakkan hasil YTL Power International Bhd pada FY25.

 

Katanya, pemulihan pendapatan Power Seraya akan berlaku secara beransur-ansur pada FY25 dan FY26 kerana kontrak runcit masih menyumbang lebih daripada 70% daripada output.

 

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan kelewatan cip daripada Nvidia, kumpulan itu juga yakin dapat mendapatkan bekalan cip tepat pada masanya iaitu menjelang separuh pertama 2025.

 

Memandangkan pemasangan pelayan mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan namun firma penyelidikan itu menjangkakan untuk melihat pusat data dengan kecerdasan buatan (DC-AI) 20MW pertama pada 2025.

 

"Kumpulan itu juga memberi panduan bahawa pusat data hiperskala telah mengunci fasa baharu pusat data 40MW selama 15 tahun.

 

"Kami juga menjangkakan Wessex Water akan mencatatkan pemulihan pendapatan lebih bermakna pada FY25F, disokong oleh pelarasan tarif tahunan dengan hasil rancangan lima tahun baharu akan diketahui menjelang akhir tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih YTL Corp pada FY24 melonjak 86% kepada hampir RM4 bilion

 

Terdahulu, YTL Power International yang merupakan cabang utiliti kumpulan itu, melaporkan peningkatan 2% dalam hasil kepada RM22.32 bilion, berbanding RM21.89 bilion tahun sebelumnya.

 

Untung bersihnya melonjak 73% kepada RM3.51 bilion, meningkat daripada RM2.03 bilion setahun sebelumnya.

 

RHB Investment berkata, keputusan FY24  kumpulan itu melebihi jangkaan hasil sumbangan yang lebih baik daripada jangkaan daripada Wessex Water dan bahagian telekomunikasinya.

 

Katanya, keuntungan teras 4QFY24 meningkat 29% dari suku tahun ke suku tahunkepada RM896 juta berikutan pemulihan Wessex Water dibantu kenaikan tarif serta bahagian telekomunikasinya berikutan permulaan kontrak tiga tahun yang diperolehi di Sabah.

 

"Ia sebahagiannya mengimbangi sumbangan Power Seraya yang lebih lemah hasil daripada penghantaran kuasa yang lebih rendah dan kos overhed yang lebih tinggi," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik penarafan kepada 'tambah' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM4.50 sesaham.- DagangNews.com