Penamatan projek loji tenaga di Vietnam tidak beri kesan kewangan kepada Sunway Construction - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Penamatan projek loji tenaga di Vietnam tidak beri kesan kewangan kepada Sunway Construction - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Julai - Penamatan projek loji jana kuasa thermal Song Hau 2 Power Company Limited (SH2P) oleh kerajaan Vietnam dilihat tidak memberi kesan kewangan kepada Sunway Construction Berhad, kata RHB Investment Bank.

 

Menurut firma penyelidikan tersebut, Toyo Ventures Holdings yang memiliki SH2P sedang menilai implikasi penamatan tersebut dan akan mencari nasihat undang-undang untuk meneroka tindakan dan penyelesaian yang sesuai mengikut terma kontrak BOT SH2P. 

 

Walaupun begitu, katanya, tiada kesan kewangan kepada anggaran pendapatan ke atas SunCon kerana tidak memasukkan nilai kerja SH2P yang berjumlah kira-kira RM6 bilion (55% bahagian yang berkesan) ke dalam buku pesanan SunCon.

 

"Kami melihat perkembangan di atas tidak memberi kebimbangan besar kepada SunCon kerana buku pesanan yang masih berjalan sebanyak RM7.9 bilion boleh memberikan kejelasan pendapatan untuk tiga tahun akan dating," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Toyo Ventures semalam mengesahkan penamatan projek loji jana kuasa terma Song Hau 2 oleh kerajaan Vietnam.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Toyo Ventures berkata, anak syarikat milik penuhnya, SH2P telah menerima surat daripada Kementerian Perindustrian dan Perdagangan (MOIT) Vietnam pada 1 Julai 2024. 

 

Kontrak EPCC projek itu diraih SunCon dan Syarikat Saham Bersama Perunding Kejuruteraan Kuasa Vietnam 2 (PECC2).

 

suncon

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway Construction berpotensi raih kontrak RM6 bilion daripada loji janakuasa Song Hau 2 Vietnam, kata CGS-CIMB

 

Sementara itu, kata RHB Investement, SunCon selepas ini mungkin dapat memberi tumpuan kepada penyampaian lebih banyak kerja pusat data (DC) yang membentuk kira-kira 50% daripada baki buku pesanannya. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, selain daripada DC, SunCon mempunyai pelbagai tender yang berkaitan dengan fasiliti penyimpanan dan pembuatan semikonduktor. 

 

"Pada masa ini, hanya ada satu kerja berkaitan dengan gudang – pusat pengedaran global Daiso Malaysia Group bernilai MYR298 juta di Port Klang," jelasnya.

 

Dalam pada itu, RHB Investment mengekalkan saranan Beli saham SunCon dengan harga sasaran (TP) baharu pada RM4.92 sesaham daripada RM4.32, iaitu kenaikan 19%.

 

"Selepas pelarasan sasaran menang kerja baharu, kami tingkatkan pendapatan FY25F-26F sebanyak 14% setiap satu," ujarnya.- DagangNews.com