Penampilan sulung Solar District Cooling Group di Pasaran ACE Bursa Malaysia catat 50 sen, naik 31.6% | DagangNews Skip to main content

Penampilan sulung Solar District Cooling Group di Pasaran ACE Bursa Malaysia catat 50 sen, naik 31.6%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Saham Solar District Cooling Group Bhd membuat penampilang sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada 50 sen, atau 31.6% lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaannya (IPO) pada 38 sen seunit.

 

Saham itu meningkat kepada setinggi 56 sen dan didagangkan pada 52.5 sen pada pukul 9.10 pagi, memberikan syarikat itu permodalan pasaran RM222.5 juta.

 

Jumlah dagangan adalah sebanyak 60.2 juta saham setakat ini.

 

Pengerusi Solar District Cooling Group, Ir. Dr. Khairul Azmy Kamaluddin berkata, penyenaraian itu menyaksikan kumpulan itu sudah measuki fasa baharu pengembangan dengan tumpuan kepada sistem pengurusan bangunan dan sistem terma solar, peningkatan kecekapan tenaga serta memperomosikan penjagaan alam sekitar. 

 

Beliau berkata, menerusi penyenaraian itu, mereka berada pada kedudukan bagi mempercepatkan rancangan pengembangan, khususnya dalam tawaran solar fotovoltaik dan mengukuhkan kedudukan untuk membida projek lebih besar. 

 

"Komitmen kami terhadap kemampanan akan membimbing kami merebut peluang baharu dan mencipta nilai berkekalan untuk pemegang saham dan pemegang kepentingan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu memperoleh kira-kira RM45.1 juta daripada IPO dan sejumlah RM1.9 juta diperuntukkan untuk pembesaran ibu pejabat di Kajang, Selangor manakala RM5 juta dikhususkan bagi bon tender dan/atau bon prestasi untuk projek masa hadapan.

 

Sejumlah RM18.7 juta akan digunakan bagi membeli bahan untuk segmen BMS, dan sistem haba suria dan segmen perkhidmatan penjimatan tenaga manakala RM12.7 juta untuk keperluan modal kerja dan RM2.5 juta untuk perbelanjaan modal. 

 

Baki sejumlah RM4.3 juta akan digunakan bagi pembayaran perbelanjaan penyenaraian.

 

Mercury Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin, dan ejen penempatan untuk IPO ini. - DagangNews.com