Penarafan Moody's bukti disiplin fiskal teguh - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Penarafan Moody's bukti disiplin fiskal teguh - Tengku Zafrul

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Pengesahan penarafan jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3, dengan unjuran stabil merupakan bukti disiplin fiskal kerajaan yang teguh. 

 

Malah, ia juga menunjukkan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh, dalam keadaan langkah-langkah pengekangan jangkitan COVID-19 yang bersungguh-sungguh.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz seperti dilapor Bernama berkata, ini turut menunjukkan keyakinan Moody’s terhadap Malaysia dalam situasi pelarasan penarafan kredit yang belum pernah berlaku sebelum ini di peringkat global, dengan Agensi-agensi Penarafan Kredit (CRA) membuat lebih 220 tindakan penarafan negatif sejak bermulanya pandemik ini.

 

Beliau berkata, kerajaan tetap komited ke arah pengukuhan jangka sederhana serta memastikan kemampanan fiskal negara.

 

“Sejak dekad yang lepas, kita berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 3.4%. 

 

"Melalui usaha mengutamakan semula perbelanjaan yang bijak, defisit fiskal Malaysia pada 2020 dijangka menjadi antara yang terendah dalam kategori A, satu pencapaian luar biasa dalam persekitaran semasa yang amat mencabar,” katanya dalam kenyataan semalam.

 

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan sasaran defisit daripada 6% daripada KDNK pada 2020 kepada 5.4% daripada KDNK 2021 dan seterusnya kepada purata 4.5% dalam jangka sederhana.

 

Semalam, Moody's Investors Service mengesahkan penarafan penerbit jangka panjang mata wang asing dan tempatan serta hutang tidak bercagar senior mata wang tempatan Malaysia pada A3, dengan unjuran yang stabil.

 

Agensi penarafan itu menjelaskan pengesahan penarafan itu disokong oleh jangkaannya bahawa prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia akan terus kukuh, dan institusi pembuatan dasar makroekonomi negara akan terus dipercayai dan efektif, sekali gus menyediakan daya tahan profil kredit negara.

 

Menurut Moody's, kekuatan itu, berlandaskan andaian asas Moody’s, seimbang dengan beban hutang kerajaan yang agak tinggi dan meningkat, yang menjadikan kerajaan berada pada kekuatan fiskal yang rendah untuk beberapa waktu selepas berlakunya kejutan pandemik ke atas kewangan awam. 

 

Moody's menjangkakan defisit fiskal Malaysia berkurangan kepada 5.5% daripada KDNK pada 2021 berbanding 6.0% yang direkodkan semasa tahun lepas. - DagangNews.com