Pendapatan 2Q ViTrox Corporation diramal meningkat didorong pesanan tertunggak - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan 2Q ViTrox Corporation diramal meningkat didorong pesanan tertunggak - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Julai - ViTrox Corporation Bhd dijangka mencatatkan peningkatan pendapatan pada suku kedua tahun ini didorong hasil daripada pesanan tertunggak.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) bagaimanapun menyemak turun pendapatan kumpulan bagi FY24 sebanyak 20% dan harga sasaran (TP) kumpulan sebanyak 14% kepada RM3.40.

 

Firma penyelidikan itu menyukai ViTrox kerana memiliki barisan pengurusan yang berpengalaman selain memiliki pendedahan pelbagai dalam industri dengan pertumbuhan tinggi utama seperti teknologi 5G, kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI). 

 

"Berikutan keuntungan bersih teras suku pertama tahun ini yang perlahan sebanyak RM17.7 juta, kami menjangkakan peningkatan berturutan pada suku kedua 2024 dengan penambahbaikan penghantaran dalam segmen Machine Vision System (MVS) yang fokus kepada pemasangan dan ujian penyumberan luar (OSAT)

 

"Bagaimanapun, selepas suku kedua tahun ini, segmen itu dijangka berdepan cabaran kekangan kapasiti dalam sumber utama, kadar pemulihan OSAT yang lebih perlahan dalam pasaran akhir automotif, perindustrian dan telekomunikasi serta persaingan sengit daripada China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, Maybank IB menjangkakan kumpulan itu mencatatka pertumbuhan mendatar bagi segmen papan pemeriksaan automatik (ABI) pada suku ekdua kesan kelembapan pengembangan luar pesisir oleh pelanggan utama iaitu China dan Taiwan. 

 

Katanya, dinamik pasaran segmen peralatan ujian automatik (ATE) di China, pasaran geografi terbesar ViTrox telah berubah secara struktur dalam suku kebelakangan ini.

 

"Disokong pembiayaan kerajaan yang agresif bagi mencapai sara diri teknologi, pemain ATE Malaysia mungkin berisiko kehilangan sebahagian pasaran kepada pemain tempatan China yang mendapat subsidi besar.

 

"Mungkin terdapat tekanan margin untuk R&D dan perbelanjaan pemasaran untuk menambah baik ciri produk bagi mempertahankan kedudukan bahagian pasaran mereka," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan jual dengan harga sasaran, RM3.40 sesaham.- DagangNews.com