Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Nov. - Prestasi pendapatan syarikat Petronas Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) pada suku keempat 2020 dijangka terjejas akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
Situasi kurang baik itu dinilai oleh dua nota kajian iaitu CGS-CIMB Research dan MIDF Research.
Menurut CGS-CIMB Research, PKPB yang dijalankan semula itu menyebabkan penurunan lalu lintas di jalan raya dan perjalanan udara domestik.
"PKPB menyebabkan perjalanan antara negeri dilarang serta sekolah ditutup. Ini menyebabkan penurunan lalu lintas di jalan raya dan perjalanan udara domestik yang telah pulih dengan baik semasa fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dihentikan semula.
"Oleh itu, kami tidak menjangkakan pendapatan suku keempat 2020 syarikat Petronas Dagangan akan baik," jelas CGS-CIMB Research.
Tambah CGS-CIMB Research lagi, situasi lalu lintas dilihat akan kembali pulih menjelang 2021 susulan harapan penemuan vaksin COVID-19.
Bagaimanapun, permintaan bahan bakar bagi jet komersial mungkin mengambil masa empat tahun untuk kembali pulih ke tahap pra COVID-19.
Petronas Dagangan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM212.7 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2020.
Berbanding suku ketiga tahun sebelumnya, pendapatan syarikat tersebut menurun sebanyak -38.1% yoy.
Penurunan berkenaan didorong oleh jumlah jualan yang lebih rendah sebanyak 22% serta harga jualan purata keseluruhan yang lebih rendah iaitu -21.0%.
Sementara itu, MIDF Research yang turut mengulas jangkaan yang sama berkata, pelaksanaan PKPB berkemungkinan mengheret pihaknya untuk membuat penyusunan semula terhadap jangkaan pendapatan Petronas Dagangan.
"Kami tidak membuat perubahan dalam pendapatan tahun kewangan 2020-2021 pada masa ini sementara menunggu taklimat penganalisis hari ini.
"Kami tidak menolak bahawa kami berpotensi untuk melakukan penyusunan semula pendapatan tahun kewangan 2020 susulan pelaksanaan PKPB di Lembah Klang sejak pertengahan Oktober dan seluruh negara.
"PKPB sejak akhir Oktober dilihat dapat menggagalkan lagi pemulihan pendapatan syarikat berkenaan," ujar MIDF Research lagi. - DagangNews.com