Pendapatan Berjaya Food diunjur terus stabil disokong pemulihan margin keuntungan, kata RHB Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Berjaya Food diunjur terus stabil disokong pemulihan margin keuntungan, kata RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - RHB Research menjangkakan pendapatan Berjaya Food Berhad bagi 2HFY23 kekal berdaya tahan disokong oleh beberapa faktor termasuk pengembangan cawangan baharu dan pemulihan margin keuntungan diterajui kenaikan harga produk.

 

Firma itu berkata, selain itu ia turut disokong pemasaran berkesan serta pelancaran produk yang inovatif.

 

Pada masa sama katanya, pertambahan bilangan pelancong asing terutama dari China juga membantu meningkatkan pendapatan kumpulan itu.

 

Kumpulan itu dijadualkan mengeluarkan keputusan kewangan bagi 2QFY23 pada 12 Februari 2023.

 

"Kami menjangkakan kumpulan itu merekodkan keputusan yang lebih kukuh dari suku tahun ke suku tahun disokong oleh festival perayaan hujung tahun," katanya dalam nota kajian, hari ini.

 

Sebelum ini, kumpulan itu meningkatkan purata harga jualan (ASP) pada Disember 2022 selepas mengambil kira harga bahan serta kos operasi yang tinggi sambil menyokong pertumbuhan jualan kedai yang sama (SSSG). 

 

Kumpulan itu juga menyasarkan pembukaan antara 35-40 cawangan Starbucks dan empat hingga enam cawangan Kenny Rogers Roasters (KRR) pada FY23.

 

Sejumlah 40%-45% daripada cawangan Starbucks akan menggabungkan kemudahan pandu lalu, dengan syarikat itu masih meneruskan rancangan untuk menembusi lokasi pinggir bandar untuk memperluaskan kehadiran rangkaiannya.

 

Kumpulan itu juga telah membuka Paris Baguette pertama negara di Pavilion, Kuala Lumpur.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.29 sesaham lebih tinggi berbanding RM1.13. - DagangNews.com