Pendapatan bersih 1H20 MQREIT naik 8.36% kepada RM38.87j | DagangNews Skip to main content

Pendapatan bersih 1H20 MQREIT naik 8.36% kepada RM38.87j

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Syarikat pengurus MRCB-Quill REIT (MQREIT), MRCB Quill Management Sdn. Bhd. (MQM) menyaksikan peningkatan pendapatan bersih sebanyak 8.36% kepada RM38.87 juta pada separuh pertama 2020 (1H20) berbanding tempoh sebelumnya.

Ini sekali gus meletakkan perolehan setiap unit (EPU) meningkat kepada 3.63 sen.

Pendapatan bersih pada suku kedua 2020 melonjak 16% kepada RM19.08 juta berbanding suku pertama. 

Lonjakan itu didorong oleh sumbangan pendapatan lebih tinggi daripada Platinum Sentral, Menara Shell dan Tesco Pulau Pinang selepas rebat sewa diberikan kepada penyewa perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya di Plaza Mont Kiara.

Tempoh berkenaan juga turut menyaksikan perbelanjaan untuk mengendali hartanah dan kos kewangan yang lebih rendah. 

Pengerusi MQM, Tan Sri Saw Choo Boon berkata, prestasi ekonomi pada separuh pertama tahun ini menunjukkan kemerosotan, tetapi pihaknya mencari ruang untuk kembali pulih diikuti kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan dan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Tan Sri
Saw Choo Boon

 

“Penyewa MQREIT telah kembali ke pejabat masing-masing sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 9 Jun 2020. 

“Walaupun terdapat kelonggaran peraturan COVID-19, namun kami meneruskan langkah berjaga-jaga untuk memastikan ruang kerja yang bersih dan selamat buat penyewa di samping menguruskan perbelanjaan kendalian hartanah MQREIT secara berhemah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

Setakat 30 Jun 2020, purata portfolio penghunian MQREIT kembali stabil pada kadar 90.4% didorong oleh kelonggaran PKP dan pembaharuan sewa yang tinggi pada suku lalu. 

Bukan itu sahaja, sejak PKPP, MQREIT secara progresif meningkatkan usaha pemasaran untuk mencari penyewa baharu bagi 9.6% ruang kosong dan dalam masa sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP). - DagangNews.com