Pendapatan Dialog Group melonjak selepas kadar penggunaan tangki simpanan meningkat, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Dialog Group melonjak selepas kadar penggunaan tangki simpanan meningkat, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mac - Peningkatan penggunaan kapal secara berperingkat melonjakkan pendapatan Pengerang Deepwater Terminals (PDT) kerana Dialog Group Berhad mengenakan bayaran kepada operator kapal untuk penggunaan jeti.

 

CGS-CIMB Research berkata, sumber pendapatan utama Dialog adalah hasil sewaan tangki simpanan dan ia juga mencatatkan peningkatan terutama untuk tangki Pengerang Independent Terminals Sdn. Bhd. dan Dialog Terminals Langsat (1) Sdn Bhd.

 

Firma itu berkata, kadar penggunaan meningkat kepada 95% pada masa ini daripada kadar yang rendah sebanyak 80% pada suku pertama 2022

 

"Kadar simpanan tangki bulanan meningkat kepada melebihi S$6 setiap meter padu (cbm) pada masa ini berbanding terendah iaitu S$5-5.50/cbm pada suku pertama 2022.

 

"Kadar penggunaan menuju ke arah 100% dan sedang menuju ke tahap S$7/cbm, kedua-dua tahap ini kali terakhir dilihat pada suku kedua 2020 semasa penutupan awal COVID-19 global yang menjejaskan permintaan minyak dan bekalan minyak masih banyak kerana Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) hanya melaksanakan pemotongan pengeluaran bermula Mei 2020," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, jumlah simpanan minyak meningkat disebabkan oleh aliran produk petroleum mentah dan bersih ke Asia yang telah diadun dengan minyak yang berasal dari Rusia, terutamanya dengan larangan Kesatuan Eropah (EU) terhadap import minyak mentah Rusia mulai 5 Disember 2022 dan larangan EU pada import produk bertapis negara sama pada 5 Februari 2023.

 

Sementara itu, firma itu berkata, Dialog secara aktif mengejar kadar yang lebih tinggi untuk perkhidmatan penyelenggaraan lojinya yang diperolehi di bawah kontrak perkhidmatan induk lima tahun dengan Petronas berkuat kuasa 1 Julai 2019.

 

Bagaimanapun, margin keuntungan terkesan akibat inflasi global pasca COVID-19 dan kekurangan tenaga kerja dan kumpulan itu cuba berunding untuk kadar yang lebih tinggi bagi baki kontrak kurang dua tahun.

 

"Sekiranya Dialog berjaya mendapatkan semakan semula kadar itu, mereka akan terima manfaat secara serta-merta.

 

"Seandainya gagal, mereka hanya perlu menunggu kontrak itu tamat sebelum ia diperbaharui semula pada 1 Julai 2024," katanya.

 

Firma itu menyemak naik penarafan kepada 'tambah' daripada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.74. - DagangNews.com