Unjuran pendapatan FY24-FY26 DRB-Hicom dikurangkan sehingga 30%, jualan kenderaan rendah - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan FY24-FY26 DRB-Hicom dikurangkan sehingga 30%, jualan kenderaan rendah - PublicInvest

Gambar DRB-HICOM Auto Solutions Sdn Bhd
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Public Investment Bank (PublicInvest) mengurangkan ramalan pendapatan DRB-Hicom pada tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-FY26) sebanyak 20% hingga 30% mengambil kira jualan kenderaan yang lebih rendah dan prestasi yang lemah di semua bahagian perniagaannya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, akibatnya, harga sasaran (TP) telah disemak semula kepada RM1.38 sesaham berbanding sebelum ini sebanyak RM1.70 dengan saranan 'Neutral' dikekalkan terhadap DRB-Hicom.

 

"DRB-Hicom melaporkan kerugian bersih sebanyak RM17 juta pada 2QFY24, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM33.7 juta pada 1QFY23, terutamanya disebabkan oleh prestasi yang lemah di Proton Holdings dan kerugian yang semakin melebar di Pos Malaysia. 

 

"Keputusan ini adalah di bawah jangkaan kami dan konsensus, mencatatkan 23.2% dan 23.3% daripada ramalan penuh tahun masing-masing," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut PublicInvest, keuntungan sebelum cukai (PBT) sektor automotif turun 27.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM96.9 juta disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih rendah. 

 

Katanya, kerugian dalam perniagaan pos melebar sebanyak 53.2% YoY kepada RM64.9 juta disebabkan oleh penurunan hasil dari operasi antarabangsa.

 

"Kerugian dalam segmen hartanah juga meningkat sebanyak 14% YoY kepada RM12.2 juta akibat ketiadaan jualan tanah industri dan hartanah. 

 

"Segmen perbankan dan perkhidmatan masing-masing menyaksikan penurunan PBT sebanyak 37.8% dan 62.6% YoY walaupun hasil meningkat. 

 

"Walau bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi oleh segmen A&D, yang mencatatkan keuntungan dengan PBT sebanyak RM5.1 juta, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.7 juta pada 2QFY23," jelasnya.

 

dhas
Gambar DHAS

 

ARTIKEL BERKAITAN: DRB-Hicom rugi RM17.07 juta pada suku kedua 2024

 

Dalam pada itu, PublicInvest berkata, Proton baru-baru ini memperkenalkan jenama kenderaan elektrik (EV) mereka yang dikenali sebagai e.MAS, bersama dengan model EV C-segmen pertama mereka, e.MAS 7 yang dijangka dilancarkan di Malaysia menjelang akhir 2024. 

 

Kata firma penyelidikan itu, e.MAS 7 akan menjadi model yang diimport sepenuhnya (CBU) dan dijangka berkongsi komponen mekanikal dengan Geely Galaxy E5.

 

"Walaupun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyemak ramalan jumlah jualan industri keseluruhan (TIV) kepada 765,000 unit untuk 2024, unjuran ini masih di bawah rekod jualan 799,731 unit yang dicapai pada 2023. 

 

"Permintaan yang lebih perlahan dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini disebabkan oleh jangkaan rasionalisasi subsidi bahan api, sentimen pengguna yang lebih lemah dan kekurangan pemangkin untuk sektor automotif.

 

"Selain itu, kemasukan model baru dan penetapan harga yang kompetitif mungkin akan memeriahkan persaingan pasaran, yang seterusnya menekan margin sektor dan mengehadkan pertumbuhan pendapatan," ujarnya.- DagangNews.com