KUALA LUMPUR 1 Ogos - Hartalega Holdings Bhd diramal mencatatkan peningkatan dalam pendapatan pada suku pertama, didorong oleh kadar penggunaan yang lebih tinggi dan peningkatan pesanan jualan.
Phillip Capital berkata, untung bersih untuk suku pertama berakhir 30 Jun 2024 (1QFY24) berkemungkinan mencecah RM45 juta hingga RM55 juta.
Sebelum ini, kumpulan itu mencatatkan keuntungan berjumlah RM14 juta pada 4QFY24 dan RM4 juta pada 1QFY24.
"Kami menjangkakan margin yang lebih kukuh daripada penyusutan harga bahan mentah dan kenaikan purata harga jualan (ASP).
"Kilang kumpulan itu juga mungkin lebih sibuk dengan penambahan inventori pelanggan yang berterusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Saham Hartalega telah mengurangkan keuntungan dalam beberapa hari kebelakangan ini menjelang pengumuman keputusan yang dijadualkan pada 6 Ogos.
Setakat ini, saham kumpulan itu masih mencatatkan peningkatan hampir 37% berikutan pemulihan pada 4QFY24.
Firma penyelidikan itu berkata, Hartalega kini beroperasi pada kadar penggunaan kilang antara 75% hingga 80% disebabkan oleh pesanan jualan bulanan yang lebih tinggi dengan purata dua bilion keping berbanding 1.8 bilion keping pada 4QFY24.
Mereka jga menjangkakan, harga produk yang lebih tinggi kerana kumpulan itu memberikan kos yang lebih tinggi kepada pelanggan, dengan peningkatan 5% dalam ASP setiap 1,000 keping kepada AS$20 hingga AS$22 pada 4QFY24.
"Kami menyukai Hartalega kerana rekod prestasinya yang kukuh, struktur kos yang unggul, dan kunci kira-kira yang sihat disokong oleh paras tunai bersih yang tinggi dan pengenaan tarif Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini ke atas pembuat sarung tangan China pada 2026," katanya.
Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM4.10 sesaham.- DagangNews.com