Pendapatan Homeritz diunjur lebih lemah pada 2HFY23 kesan penurunan permintaan perabot - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Homeritz diunjur lebih lemah pada 2HFY23 kesan penurunan permintaan perabot - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Public Investment Bank Research (PublicInvest) mengunjurkan pendapatan Homeritz Corporation Berhad lebih lemah pada 2HFY23 dan terus berhati-hati terhadap prospek jangka pendek kumpulan itu.

 

Firma itu berkata, unjuran itu berdasarkan persekitaran kadar faedah tinggi yang menjejaslan pasaran hartanah sekali gus membawa kepada penurunan dalam permintaan perabot.

 

Katanya, permintaan perabot rumah yang sebelum ini didorong oleh peraturan kerja dari rumah (WFH) sebelum ini telah berkurangan selepas ramai kembali ke pejabat.

 

"Bagaimanapun kadar tukaran mata wang asing yang menggalakkan seharusnya membantu mengurangkan sebahagian daripada penurunan permintaan perabot.

 

"Kami mengunjurkan penurunan 42% bagi keuntungan bersih teras FY23 kumpulan memandangkan prospek yang mencabar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, hasil 2QFY23 kumpulan turun sebanyak 42.2% kepada RM39.8 juta.

 

Katanya, keputusan yang lebih lemah adalah disebabkan penurunan jualan eksport dan kesan asas yang lebih tinggi apabila mereka meningkatkan pengeluarannya pada 2QFY22 kerana pengeluaran dihentikan buat sementara waktu semasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

 

"Selaras dengan jumlah pengeluaran yang lebih rendah, kumpulan itu menyaksikan keuntungan bersihnya jatuh sebanyak 46.2% kepada RM5.6 juta, memandangkan skala ekonomi yang lebih lemah," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 48 sen sesaham berbanding 53 sen sebelum ini. - DagangNews.com