Pendapatan IGB REIT diramal meningkat, dipacu kadar penghunian tinggi di Mid Valley dan The Gardens Mall | DagangNews Skip to main content

Pendapatan IGB REIT diramal meningkat, dipacu kadar penghunian tinggi di Mid Valley dan The Gardens Mall

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - MIDF Research mengunjurkan pendapatan IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) pada suku akan datang terus meningkat dipacu kadar penghunian tinggi di Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall.

 

Katanya, kadar penghunian di Mid Valley Megamall kembali ke tahap 100% pada 2QFY24 berbanding 88.6% pada 1QFY24 selepas kerja-kerja penetapan semula kawasan boleh disewa bersih (NLA) seluas 200,000 kaki persegi kepada Metrojaya selesai.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar penghunian The Gardens Mall bagaimanapun berada pada paras 99.95%.

 

"Kadar penghunian Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall dijangka kekal tinggi disokong lokasi strategik pusat beli-belah dan akan memacu pertumbuhan sewa bagi jangka panjang.

 

"Pertumbuhan itu juga akan disokong peningkatan kehadiran jumlah pelanggan yang lebih tinggi ke pusat beli-belah berkenaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) meningkat 0.7% kepada RM81.54 juta daripada RM80.97 juta pada 2QFY23.

 

Hasil kumpulan itu meningkat 6% kepada RM149.96 juta daripada RM141.54 juta sebelumnya.

 

Bagi separuh pertama 2024, untung bersih kumpulan meningkat kepada RM181.15 juta daripada RM177.19 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan meningkat kepada RM312.52 juta daripada RM296.15 juta sebelumnya.

 

MIDF Research menyukai IGB REIT kerana prospek pendapatannya yang berdaya tahan disokong oleh kualiti asset runcitnya yang baik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.10 sesaham," katanya. - DagangNews.com