Pendapatan Inari Amertron diunjur lebih baik pada FY25 didorong sumbangan produk baharu, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Inari Amertron diunjur lebih baik pada FY25 didorong sumbangan produk baharu, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - RHB Investment mengunjurkan pendapatan Inari Amertron Bhd lebih baik pada FY25 didorong sumbangan daripada produk baharu dan rancangan pertumbuhan.

 

Katanya, jangkaan pertumbuhan FY25 sebanyak 25% dipercayai hadir daripada telefon pintar baharu dengan ciri kecerdasan buatan (AI).

 

Firma penyelidikan itu berkata, risiko peningkatan mungkin timbul daripada peningkatan semula dalam jualan telefon pintar utama di China disebabkan lambakan bekalan jenama nasional dan diskaun agresif pada pelbagai platform.

 

"Permintaan lebih kukuh untuk telefon pintar baharu yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dijangka pada September dan Oktober dengan ciri AI baharu akan menunjukkan peningkatan kepada ramalan 2025.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana peluang pertumbuhannya dalam kitaran baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, pendapatan teras kumpulan itu pada 9MFY24 meleset daripada jangkaan disebabkan margin yang lebih lemah daripada jangkaan, walaupun hasil yang lebih tinggi dan tukaran mata wang asing yang menggalakkan.

 

Pengurusan mengaitkan kos tetap tambahan daripada pengambilan pekerja baharu dan menyediakan kos untuk pembangunan produk masa hadapan, di samping gangguan dalam bekalan elektrik, kepada melembapkan margin 9MFY24 mereka.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sumbangan lebih rendah daripada pengembangan Yiwu di China ditambah dengan peningkatan yang lebih perlahan daripada jangkaan dan margin memori baharu serta optoelektronik boleh menimbulkan risiko penurunan untuk kumpulan itu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM3.60 sesaham," katanya.- DagangNews.com