Pendapatan Inari tidak terjejas dengan rancangan Apple bangunkan cip sendiri, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Inari tidak terjejas dengan rancangan Apple bangunkan cip sendiri, kata Kenanga Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Pendapatan Inari Amertron Berhad dilihat tidak akan terjejas akibat laporan bahawa Apple Inc sedang merancang untuk membangunkan cip mereka sendiri.

 

Bloomberg melaporkan, pengeluar telefon pintar Amerika Syarikat (AS) itu  merancang untuk menggantikan komponen Wi-Fi dan Bluetooth Broadcomm dengan cip yang dibangunkan secara dalaman untuk menggabungkan kedua-dua fungsi menjadi satu modul.

 

Selain itu, modem selular Qualcomm juga akan digantikan pada awal 2025.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research menjangkakan perubahan itu tidak akan memberi kesan kepada pendapatan kumpulan kerana mereka hanya terlibat dengan cip frekuensi radio (RF) dan bukan mana-mana komponen yang disebutkan dalam laporan berkenaan.

 

"Cip RF jauh lebih kompleks dalam reka bentuk (berbanding modul Wi-Fi atau Bluetooth) dan tidak mungkin diganti dalam jangka pendek.

 

“Berdasarkan trend semasa, ia akan mengambil masa lebih daripada lima tahun (sejak pengambilalihan cabang modem selular Intel pada 2019) sebelum pengeluar telefon pintar AS itu akhirnya melaksanakan reka bentuknya sendiri pada 2025 yang mampu bersaing dengan apa yang telah ditawarkan oleh Qualcomm," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, Apple sebelum ini menyatakan rancangan untuk mengembangkan keupayaan reka bentuk cip dalaman bagi mengawal rantaian bekalannya dengan lebih baik selepas mengalami gangguan bekalan cip semasa penularan COVID-19.

 

Firma itu menjangkakan perniagaan RF kumpulan itu kekal kukuh tetapi momotong penilaiannya selepas mengambil kira sentimen buruk terhadap pemain industri yang terlibat dalam rantaian bekalan telefon pintar AS.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM2.60 berbanding RM2.85 sebelum ini. - DagangNews.com