Pendapatan IOI Corporation pada 2HFY23 dijangka bertambah baik, dipacu pengeluaran BTS - HLIB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan IOI Corporation pada 2HFY23 dijangka bertambah baik, dipacu pengeluaran BTS - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan prestasi yang baik untuk IOI Corporation Berhad pada separuh kedua (2H) tahun kewangan 2023 (FY23) kerana syarikat itu mempunyai panduan pertumbuhan keluaran tandan buah segar (FFB) konservatif berikutan hujan lebat baru-baru ini di kawasan Selatan.

 

Firma itu berkata, pengeluaran BTS kumpulan itu merosot sebanyak 3.9% kepada 1.66 juta tan dalam tempoh tujuh bulan (7M) tahun kewangan 2023 (FY23) kesan daripada kekurangan tenaga kerja terutama pada awal FY23.

 

"Walaupun keadaan tenaga kerja bertambah baik sejak beberapa bulan lalu, pengurusan kekal konservatif terhadap pertumbuhan keluaran BTS.

 

"Selain itu, BTS memerlukan masa untuk pulih ke tahap seperti sebelum pandemik kerana ia perlu kembali ke dalam program pembajaan (yang ketinggalam daripada sasaran semasa 1HFY23) selain kerja-kerja pemulihan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menjangkakan kos pengeluaran minyak sawit mentah pada FY23 akan menyusut sedikit daripada RM2,500 bagi setiap tan yang dicatatkan pada 1HFY23 kesan daripada perbelanjaan penyelenggaraan dan kos bahan api yang lebih rendah pada 2HFY23, manakala kos tenaga kerja dan baja kekal tinggi.

 

Katanya, kumpulan itu percaya bahawa harga MSM kekal berada di atas RM4,000 bagi setiap tan dalam beberapa bulan akan datang.

 

"Perkara itu akan disokong oleh dasar eksport Indonesia yang ketat, pelonggaran dasar sifar COVID-19 China dan kemarau di Argentina (dijangka menjejaskan bekalan kacang soya di negara itu," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.36 sesaham. - DagangNews.com