Pendapatan Keyfield International dijangka meningkat kesan kekurangan bekalan kapal dalam pasaran | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Keyfield International dijangka meningkat kesan kekurangan bekalan kapal dalam pasaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Pendapatan Keyfield International Bhd bagi suku kedua dan ketiga dijangka meningkat kesan kekurangan bekalan kapal dalam pasaran.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu ketika ini beroperasi pada kapasiti hampir maksimum didorong peningkatan aktiviti selepas berakhirnya musim monsun.  

 

Katanya, majoriti bot kerja penginapan (AWB) ketika ini terlibat dengan pajakan jangka sederhana antara enam hingga sembilan bulan.

 

"Permintaan terhadap perkhidmatan AWB dijangka kekal kukuh, kami menjangkakan kumpulan itu boleh memperoleh DCR (kadar pajakan harian) yang lebih tinggi untuk FY25.

 

"Memandangkan bekalan kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang ketat di Malaysia pada aktiviti yang teguh, kami menjangkakan DCR akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keyfield terima 2 kontrak RM40 juta daripada HESS Exploration bagi penyediaan AWB, AHTS untuk aktiviti luar pesisir

 

Kenanga Research berkata, menyemak naik unjuran keuntungan bersih kumpulan bagi FY24-FY25 sebanyak 6% dan 5% selepas meramalkan purata DCR lebih tinggi kepada antara  RM108,500 hingga RM128,500/hari berbanding RM104,900 hingga RM124,000/hari.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana kehadirannya alam subsektor AWB yang berkembang pesat dengan bekalan terhad, kapal yang dimilikinya berusia sekitar lapan tahun dan penggearan yang rendah.

 

"Kumpulan itu bagaimanapun berdepan beberapa risiko termasuk penurunan ketara dalam harga minyak mentah Brent, masa henti kapal yang tidak dijangka disebabkan penyelenggaraan an penyusutan belanjawan pengeluar minyak," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengna harga sasaran RM3.00 sesaham. - DagangNews.com