Pendapatan MBM diunjur menguncup 13% tahun ini disebabkan kesan lockdown  | DagangNews Skip to main content

Pendapatan MBM diunjur menguncup 13% tahun ini disebabkan kesan lockdown 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Ekoran prestasi separuh pertama di bawah unjuran, MIDF Research menjangkakan pendapatan MBM Resources Bhd. bagi tahun kewangan 2021 akan menguncup 13% disebabkan kesan daripada pelaksanaan sekatan pergerakan atau total lockdown. 

 

MBM merekodkan untung bersih sebanyak RM17 juta bagi suku kedua, menjadikan pendapatan separuh pertama berjumlah RM64 juta. 

 

Di sebalik peningkatan kukuh tahun ke tahun ini, bagaimanapun, prestasi itu adalah di bawah unjuran MIDF Research dan konsensus, merangkumi 35% dan 34% bagi anggaran sepanjang tahun.

 

Penganalisisnya, Hafriz Hezry berkata, penyusutan pendapatan bagi tempoh itu bukan sesuatu yang mengejutkan dengan mengambil kira pelaksanaan sekatan pergerakan sejak Jun lalu telah menjejaskan pengeluaran.

 

Bagaimanapun, katanya, permintaan kekal kukuh selama 4 bulan bagi tempahan Perodua, sekali gus menyokong pemulihan kukuh pada suku keempat ini apabila sektor kembali beroperasi mulai pertengahan Ogos dan seterusnya.

 

"Sekurang-kurangnya 80% tenaga kerja MBM sudah menerima vaksin penuh, dan membolehkan operasi berjalan dengan kapasiti penuh bagi bahagaian pengeluaran, manakala cawangan jualan kembali dibuka sepenuhnya di seluruh negara," katanya dalam nota kajian hari ini

 

Firma itu menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 24% kepada RM137 juta yang mencerminkan kerugian dialami bahagian pengeluaran antara Jun hingga pertengahan Ogos.

 

Ia juga melihat pemulihan pendapatan kini beralih kepada tahun kewangan 20222 berbanding 2021 sebelum ini.

 

"Kami kini menjangkakan jualan keseluruhan industri (TIV) Perodua sebanyak 205,000 unit berbanding 237,000 sebelum ini," tambahnya.

 

Hafriz berkata, pendapatan MBM bagaimanapun dijangka kembali meningkat 38% tahun ke tahun bagi tahun kewangan 2022 tanpa pelaksanaan semula sekatan pergerakan dan persekitaran kadar faedah rendah.
 

"Bagi tahun kewangan 2022, ia dijangka dipacu peningkatan 17% tahun ke tahun bagi TIV Perodua sebanyak 240,000 unit.

 

"Ini sebahagiannya mencerminkan kesan daripada Ativa (dilancarkan pada Mac 2021) bagi sepanjang tahun berbanding sumbangan lebih efektif selama 6 bulan setengah yang disebabkan sekatan pergerakan," jelasnya. 

 

Selain itu, tambahnya, MBM sepatutnya mendapat kelebihan daripada lanjutan berterusan bagi sektor logistik e-dagang yang mana Hino mengawal 35% pegangan dalam segmen trak manakala Daihatsu mengawal 20% pegangan dalam segmen panel van.

 

Ini mendorong MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' bagi saham MBM dengan harga sasaran disemak naik kepada RM4.30 berbanding RM4.20 berikutan asas penilaian bagi tahun kewangan 2022. - DagangNews.com