Pendapatan P.I.E. Industrial diunjur bertambah baik pada 4QFY23, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan P.I.E. Industrial diunjur bertambah baik pada 4QFY23, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - Pendapatan P.I.E. Industrial Berhad dijangka bertambah baik pada 4QFY23 didorong prestasi yang agak stabil setakat ini.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu bermula dengan perlahan pada Julai 2023 tetapi kemudiannya diimbangi pengambilan pesanan yang positif menjelang September lalu.

 

Difahamkan bahawa kumpulan itu telah mendapatkan tempahan daripada pelanggan N bagi model yang akan datang bagi salah satu perantinya dan penglibatannya dalam pengeluaran model sedia ada akan kekal tidak berubah.

 

Katanya, kumpulan itu sedang mempertimbangkan pengembangan bahagian pemasangan terakhir bagi model baharu itu dan memperluaskan peranan semasa pemasangan papan litar bercetak (PCB).

 

“Selain itu, terdapat peningkatan dalam tempahan daripada pelanggan M untuk pembuatan peranti keselamatan, di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang memuncak," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pengambilan yang ketara jumlah pesanan dari Oktober dan seterusnya terus dicatatkan selepas berlaku pengurangan pesanan daripada pelanggan A pada Julai hingga September 2023.

 

Sementara itu, kumpulan itu berjaya mendapatkan empat pelanggan baharu dengan produk berkaitan peranti dron bagi pertunjukan cahaya, peranti diagnostik untuk kanser mulut, rumah pintar serta penderia industri.

 

“Rundingan dengan keempat-empat pelanggan telah dimuktamadkan dan fasa kelayakan dan sampel produk sedang dijalankan,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sumbangan daripada pelanggan baharu dijangka menyumbang kira-kira 8% hingga 12% daripada jumlah hasil kumpulan pada FY24 apabila mereka memulakan pengeluaran besar-besaran.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.61 sesaham," katanya. - DagangNews.com