Pendapatan teras UEM Edgenta bagi 2022 berada dibawah unjuran RHB Research akibat kos operasi yang tinggi | DagangNews Skip to main content

Pendapatan teras UEM Edgenta bagi 2022 berada dibawah unjuran RHB Research akibat kos operasi yang tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mac - Pendapatan teras UEM Edgenta Berhad bagi 2022 adalah dibawah unjuran RHB Research disebabkan kos operasi yang lebih tinggi, walaupun terdapat peningkatan yang kukuh dalam bahagian penyelesaian infrastruktur. 

 

Firma itu berkata, pengurusan kumpulan bagaimanapun optimis terhadap prospek 2023 walaupun berdepan tekanan kos inflasi.

 

"Kumpulan itu teguh dalam mengguna pakai langkah mengoptimumkan kos dan menggunakan penyelesaian yang didayakan teknologi untuk mendepani pelbagai cabaran pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan untung bersih yang lebih tinggi sebanyak RM45.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding RM43.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Di sebalik kemenangan kontrak yang kukuh dan strategi pertumbuhan antarabangsa, hasil kumpulan itu meningkat 10.1% kepada RM2.5 bilion daripada RM2.3 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Bagi 4QFY22, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM21 juta didorong hasil sebanyak RM710.5 berbanding keuntungan bersih RM4.4 juta dan hasil RM646.2 juta pada 3QFY22.

 

Firma itu berkata, margin keuntungan teras kumpulan itu susut 2.2ppt kepada 5.8% pada 4QFY22.

 

Katanya, ia disebabkan oleh kos kakitangan yang lebih tinggi (iaitu pelaksanaan gaji minimum), serta kenaikan harga bahan mentah termasuk bitumen yang digunakan untuk penyelenggaraan jalan dan produk kimia untuk pembersihan.

 

"Kumpulan itu akan mengimbangi sisihan negatif dengan mengguna pakai tahap automasi yang lebih tinggi, mengembangkan perkhidmatan nilai tambahnya, dan mewujudkan tawaran perkhidmatan di pasaran seperti Singapura dan Taiwan.

 

"Walaupun kami optimis untuk pemulihan kebanyakan operasi kumpulan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kami juga menyedari kos operasi yang meningkat," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham. - DagangNews.com