KUALA LUMPUR 6 Mac - Perkembangan positif kadar sewa dan kontrak yang disemak semula akan membantu membawa pemulihan pendapatan Velesto Energy Berhad pada 2023.
Affin Hwang Investment Bank berkata, kumpulan itu berjaya merundingkan kadar sewaan yang lebih tinggi untuk baki tempoh kontrak Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang akan membantu mengurangkan kadar kenaikan perbelanjaan operasi.
Firma itu berkata, kumpulan itu menjangkakan kos operasi akan meningkat antara 10% hingga 15% pada 2023 kesan harga bahan mentah dan kos korporat.
Firma itu berkata, kenaikan itu akan diimbangi oleh kadar sewaan yang lebih tinggi berdasarkan perbincangan bersama Petronas.
"Keadaan akan mula menjadi progresif pada suku kedua 2023 dan seterusnya.
"Kami meningkatlan pendapatan sesaham (EPS) bagi 2023 sebanyak 10% tetapi menurunkan EPS bagi 2024-25 sebanyak 7%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, firma itu berkata, berdasarkan kontrak semasa, penggunaan pelantar suku pertama 2023 adalah sekitar 86% sebelum menyusut kepada 81% pada suku kedua tahun sama.
Firma itu berkata, penggunaan bagi suku ketiga masih rendah iaitu pada kadar 53% dengan beberapa program sedang dirundingkan dengan Petronas.
"Selain gangguan operasi yang tidak dijangka dan kelewatan program penggerudian pelanggan, suku keempat 2023 berkemungkinan akan merekodkan penggunaan 100%.
"Kumpulan telah memperoleh 80% penggunaan setakat ini untuk 2023, melebihi kada 62% yang dicatatkan pada 2022," katanya.
Firma itu menyemak naik penarafan Velesto kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 26 sen sesaham. - DagangNews.com