KUALA LUMPUR 23 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan pendapatan V.S Industry Berhad terjejas kesan daripada permintaan perlahan untuk barangan elektronik pengguna akibat kelembapan ekonomi global.
Dalam keadaan semasa, firma itu menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras sebanyak 13% hingga 16% untuk FY23 hingga FY25.
"Momentum jualan yang lebih lemah selain kumpulan itu mengambil masa lebih lama untuk meningkatkan penggunaan kilang baharunya di i-Park@Senai Airport City, Johor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih bagi 1HFY23 meningkat sebanyak 8.5% kepada RM91.1 juta berbanding RM83.9 juta pada tahun sebelumnya.
Hasil bagi tempoh itu juga meningkat sebanyak 23.2% kepada RM2.44 bilion bagi tempoh sama berbanding RM1.89 bilion pada 1HFY22.
BACA JUGA: Untung bersih V.S Industry bagi 2QFY23 susut 31.7% kepada RM30.4 juta
Firma itu berkata, hasil 2QFY23 kumpulan itu merosot 11.4% dari suku tahun ke suku tahun disebabkan penurunan dalam pesanan jualan daripada pelanggan utamanya.
Bagi suku berkenaan katanya, kumpulan itu juga terjejas oleh perbelanjaan faedah yang lebih tinggi, yang meningkat 39% kepada RM11.4 juta, mungkin disebabkan oleh pengeluaran RM500 juta Sukuk Wakalah yang dikeluarkan pada 21 September 2022.
Ia ditambah dengan kerugian tukaran mata wang asing sebanyak RM19 juta, menyebabkan keuntungan bersih teras merosot 48% kepada RM30.3 juta.
"Kami bagaimanapun tidak terlalu bimbang tentang kerugian tukarawan mata wang asing dan kami menjangkakan keadaan itu akan menjadi lebih baik pada 2HFY23 melalui purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 87 sen. - DagangNews.com