Pendeposit Tabung Haji melebihi 18 tahun disaran tukar kepada akaun dewasa | DagangNews Skip to main content

Pendeposit Tabung Haji melebihi 18 tahun disaran tukar kepada akaun dewasa

  

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan para pendeposit khususnya yang telah melebihi umur 18 tahun tetapi masih memegang Akaun Kanak-Kanak di bawah jagaan untuk menukarkan status kepada  Akaun Dewasa. 

 

Pengarah Eksekutif Operasi, Mustakim Mohamad berkata, hampir 700,000 pemegang Akaun Kanak-Kanak di TH yang melebihi umur 18 tahun telah dikenal pasti. 

 

 “Bermula 1 Disember 2021, pemegang Akaun Kanak-kanak yang telah menukar status akan mentadbir akaun masing-masing dengan sendirinya.    

 

“Akaun tersebut akan dibekukan daripada melakukan sebarang transaksi pengeluaran. Selain itu, status link akaun di antara akaun penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan. 

 

“Walau bagaimanapun, akaun tersebut masih boleh menerima transaksi simpanan daripada semua saluran yang disediakan TH termasuklah di platform JomPay dan THiJARI,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sehubungan itu, TH menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun di bawah jagaan bagi anak berumur 18  tahun ke atas menukarkan status akaun ke Akaun Dewasa agar tidak timbul kesulitan pada masa akan datang.

 

Jelas institusi itu, langkah ini diambil bagi memastikan semua akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit itu sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit berumur 18 tahun tersebut dikemaskini.

 

Selain itu, adalah penting supaya para pendeposit memastikan akaun masing-masing dan dalam jagaan kekal berstatus aktif, untuk terus menikmati manfaat menyimpan di TH, jelasnya lagi. 

 

Ini termasuk simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, zakat ditunaikan, patuh syariah, dikecualikan cukai pendapatan dan boleh turut serta dalam pelbagai kempen yang dijalankan TH

 

Pendeposit  hanya perlu melakukan hanya satu transaksi simpanan atau pengeluaran bagi  memastikan akaun TH anda kekal berstatus aktif.  

 

“Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh merujuk di laman web rasmi, www.tabunghaji.gov.my atau terus menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) di 03-62071919. - DagangNews.com