Penerbitan EPD sahkan jubin Niro Ceramic Group layak untuk skim bangunan hijau | DagangNews Skip to main content

Penerbitan EPD sahkan jubin Niro Ceramic Group layak untuk skim bangunan hijau

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mac - Niro Ceramic Group (NCG) mengumumkan penerbitan Pengisytiharan Produk Alam Sekitar (EPD) untuk jubin porselin Niro Granite dan Portino yang disahkan layak untuk kegunaan skim bangunan hijau.

 

EPD merupakan laporan telus mengenai pembuatan produk dan cara ia memberi kesan kepada alam sekitar dan akan menjadikan produk jubin NCG layak untuk menyumbang kepada kredit dalam skim bangunan hijau seperti LEED.

 

Untuk mencapai EPD, NCG menjalani penilaian kitaran hayat (LCA) penuh yang dikendalikan oleh SCS Global Services (SCS) dan disahkan secara bebas. 

 

Data LCA kemudiannya dilaporkan dalam EPD, yang kemudiannya disahkan secara luaran oleh pihak ketiga.

 

EPD menilai potensi kesan sumber, penggunaan tenaga, penggunaan air, penjanaan sisa dan pelepasan daripada keseluruhan kitaran hayat produk selain menunjukkan potensi pemanasan global (jejak karbon) produk pada setiap peringkat kitaran hayat.

 

Pengarah Urusan NCG, Ian Kok berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen kumpulan kepada dunia yang lebih mampan, pihaknya berusaha untuk menyediakan lebih banyak pilihan yang mementingkan alam sekitar di peringkat antarabangsa untuk membina produk dan laporan itu hanyalah permulaan

 

"EPD menyediakan data penting untuk kami manfaatkan, sambil kami terus membuat penambahbaikan produk dan kecekapan proses yang lebih mampan terhadap alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Teknikal SCS Global Services, Keith Killpack berkata, pengguna dan profesional mahu menggunakan produk yang lebih baik untuk alam sekitar dan mereka memerlukan data produk yang boleh dipercayai untuk membuat keputusan.

 

"Menerusi EPD yang disahkan NCG, mereka menyediakan dokumen objektif yang telus sepenuhnya dan ia merupakan sumber rujukan utama untuk arkitek dan para profesional.

 

"Kami memuji NCG atas dedikasi mereka untuk menjalani penilaian kitaran hayat dan menerbitkan EPD untuk berkongsi kesan alam sekitar produk mereka," katanya. - DagangNews.com