Penerima 2 dos suntikan vaksin dijangka diberi kelonggaran bergerak | DagangNews Skip to main content

Penerima 2 dos suntikan vaksin dijangka diberi kelonggaran bergerak

Muhyiddin Yassin
 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) ke atas rakyat yang telah menerima suntikan dua dos vaksin COVID-19. 

 

Katanya, kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran tertentu kepada mereka yang telah menerima jumlah dos vaksin lengkap. 

 

Ini antaranya kebenaran untuk makan di restoran dan merentas daerah atau negeri. 


 

“Saya fikir sebahagian besar sudah dapat suntikan vaksin COVID-19.

 

"Mutakhir sekali saya minta Jawatankuasa Pengurusan (JKJAV) ini menilai semula bagi mereka yang dapat vaksin dua suntikan supaya mereka akan diberikan kelonggaran-kelonggaran, sama ada dari segi perjalanan atau pergi ke kedai atau makan di restoran.

 

"Ini petanda supaya kita nak tunjukkan sementara kita menguruskan COVID-19, maka kehidupan rakyat mungkin sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa-masa yang lepas," katanya seperti dilaporkan Bernama.

 

Memasuki hari ketiga berturut-turut, Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan jumlah pemberian vaksin harian melebihi 400,000 dos.

 

Semalam, Malaysia sekali lagi mencatatkan jumlah pemberian dos tertinggi dengan jumlah sebanyak 434,828 dos.

 

Muhyiddin menjangkakan bekalan vaksin akan meningkat dan bertambah dalam tempoh beberapa hari akan datang. - DagangNews.com