Pengambilalihan Geekstart kunci perluasan Ramssol ke Asia Tenggara, kata Apex Security | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan Geekstart kunci perluasan Ramssol ke Asia Tenggara, kata Apex Security

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Ramssol Group Bhd bersedia untuk mengembangkan kehadirannya di Asia Tenggara melalui cadangan pengambilalihan 51% pegangan ekuiti anak syarikat milik penuhnya terhadap syarikat teknologi Thailand GeekStart Co Ltd pada harga RM6.9 juta.

 

Apex Security yakin, pengambilalihan itu akan meningkatkan pendapatan kumpulan itu pada masa hadapan.

 

Katanya, langkah itu akan membolehkan kumpulan itu meluaskan kehadirannya di pasaran serantau serta menawarkan rumusan kecerdasan buatan (AI) yang telah digunakan GeekStart kepada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan.

 

"Kami anggap ia sebagai tawaran yang baik dengan jaminan keuntungan masing-masing RM2.4 juta dan RM3.6 juta untuk 2024 dan 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Cadangan pengambilalihan itu dijangka siap pada Julai tahun ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ramssol ambil alih 51% kepentingan dalam firma AI berpangkalan di Thailand

 

Firma penyelidikan itu berkata, GeekStart telah mencatatkan peningkatan secara konsisten sejak tiga tahun lalu, dengan keuntungan bersih meningkat daripada RM400,000 pada 2021 kepada RM1.4 juta pada 2023. Ia juga bebas hutang dengan aset bersih RM3.4 juta pada akhir 2023.

 

Katanya, Ramssol akan terus memberi tumpuan kepada tonggak perniagaan utamanya yang tertumpu pada sektor pendidikan, pemasaran dan automotif.

 

“Kami menjangkakan sektor automotif akan membuat sumbangan yang lebih besar pada separuh kedua 2024 daripada jumlah urus niaga yang lebih tinggi, manakala pendidikan dan pemasaran akan menumpukan pada pelancaran inisiatif baharu yang konsisten sejajar dengan permintaan pasaran yang semakin berkembang," katanya.

 

Apex Security menaikkan unjuran pendapatan Ramssol kepada RM17 juta dan RM19.1 juta untuk 2024 dan 2025, selepas memasukkan sumbangan jaminan keuntungan daripada GeekStart.

 

Firma penyelidikan itu mengekalan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 76 sen sesaham. - DagangNews.com