Pengambilalihan kemudahan perindustrian di Klang tidak akan beri sumbangan besar kepada pendapatan Axis REIT - HLIB | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan kemudahan perindustrian di Klang tidak akan beri sumbangan besar kepada pendapatan Axis REIT - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Cadangan untuk pengambilalihan kemudahan perindustrian daripada Jemaramas Jaya Sdn. Bhd. pada harga RM41 juta dijangka tidak akan memberi sumbangan besar kepada pendapatan Axis Real Estate Investment Trust (REIT).

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, pengambilalihan itu secara relatifnya sangat kecil berbanding portfolio kumpulan (1% daripada portfolio yang dianggarkan bernilai RM4.1 bilion).

 

"Harga yang ditawarkan untuk permerolehan itu adalah sebanyak RM212 sekaki persegi.

 

"Kami melihat harga yang ditawarkan itu sangat menarik dan ia lebih rendah berbanding harga antara RM290 hingga RM350 yang kebanyakannya ditawarkan bagi hartanah di kawasan Klang berdasarkan kepada pelbagai laman web dan penilaian yang dibuat penilai bebas," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Hartanah itu berada di Jalan Haji Salleh, Klang yang terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari pusat bandar Shah Alam dan 50km dari Kuala Lumpur.

 

Ia terdiri daripada dua gudang dan bangunan pejabat tambahan tiga tingkat dengan luas binaan 193,000 kaki persegi.

 

Pengambilalihan itu akan membolehkannya mengukuhkan portfolio hartanah perindustriannya dan dijangka memberi manfaat kepada syarikat dalam jangka panjang.

 

Pemerolehan itu akan dibiayai oleh pembiayaan bank sedia ada Axis REIT, dengan pelaksanaan dijangka selesai pada suku keempat 2022.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan sehingga proses pengambilalihan itu selesai sepenuhnya.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.08 sesaham," katanya. - DagangNews.com