Pengambilalihan Onsite kukuhkan kedudukan Sime Darby di pasaran Australia, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan Onsite kukuhkan kedudukan Sime Darby di pasaran Australia, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap pengambilalihan Onsite Rental Group (Onsite) oleh Sime Darby Berhad  kerana langkah itu akan mengukuhkan kedudukannya di dalam pasaran Australia.

 

Firma itu berkata, pemerolehan itu juga membolehkan kumpulan itu mengembangkan tawaran kepada pelanggan sedia ada selain terus berkembang ke dalam sektor pembinaan (melengkapi Salmon Earthmoving yang diperoleh pada 2021).

 

"Sime Darby juga akan menggunakan Onsite untuk memanfaatkan pasaran infrastruktur selain mewujudkan kehadiran baharu di Pantai Timur Australia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Onsite merupakan syarikat pembekal perkhidmatan penyewaan peralatan perniagaan kepada perniagaan (B2B) terkemuka di Australia yang diambil alih oleh anak syarikat Sime Darby, Sime Darby Allied Operations Pty Ltd dengan harga AU$635 juta (RM1.92 bilion).

 

Onsite mempunyai lebih daripada 500 pekerja di 39 cawangan seluruh Australia yang menyediakan perkhidmatan penyewaan peralatan dan penyelesaian ‘Digital Rental Management’ terkemuka industri.

 

Syarikat itu juga mempunyai kumpulan yang besar dan pelbagai iaitu lebih 60,000 aset yang menyediakan kepelbagaian penawaran penyewaan peralatan industri kepada Sime Darby merentasi pelbagai industri di Australia.

 

BACA JUGA: Sime Darby cadang ambil alih firma Australia Onsite Rental Group pada harga RM1.92 bilion

 

Firma itu berkata, Sime Darby akan terus memanfaatkan momentum kukuh segmen perindustriannya, didorong oleh perlombongan di Australia pada FY23.

 

"Kami juga menjangkakan hasil dividen berterusan antara 5.2% hingga 6.1% untuk FY23 hingga FY25, berikutan hasil daripada pelupusan Pelabuhan Weifang, Pelabuhan Jining dan plot tanah Lembah Wawasan Malaysia (MVV),” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.70 sesaham. - DagangNews.com