Penganalisis 'neutral' terhadap sektor perladangan meskipun simpanan stok minyak sawit mentah meningkat | DagangNews Skip to main content

Penganalisis 'neutral' terhadap sektor perladangan meskipun simpanan stok minyak sawit mentah meningkat

KUALA LUMPUR 11 Julai - RHB Investment mengekalkan andaian harga minyak sawit mentah (MSM) sekitar RM3,900 bagi setiap tan bagi 2024 selain mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor perladangan meskipun simpanan stok komoditi tinggi direkodkan pada Jun tahun ini.

 

Katanya, simpanan MSM meningkat 4% dari bulan ke bulan kepada 1.83 juta tan pada Jun 2024 disebabkan eksport lebih rendah tetapi diimbangi kadar pengeluaran yang lebih rendah.

 

“Kami menjangka paras stok akan bertambah baik secara beransur-ansur dan menghampiri paras dua juta tan dalam beberapa bulan akan datang, ketika memasuki musim pengeluaran puncak.

 

"Pemangkin utama yang perlu diberi perhatian ialah musim La Nina, yang masih berkemungkinan dan dijangka pada September hingga November 2024, dan kemudian berterusan hingga suku pertama 2025, dengan kebarangkalian 85%,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menganggarkan, aliran menaik dalam simpanan minyak sawit berkemungkinan berterusan sehingga Julai 2024, berikutan peningkatan bermusim dalam corak tanaman yang akan mengimbangi potensi permintaan eksport yang lebih tinggi. 

 

Ia didorong peningkatan daya saing harga minyak sawit berbanding minyak soya, serta ketiadaan permintaan yang didorong oleh perayaan.

 

"Kami mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor perladangan, memandangkan ketiadaan pemangkin permintaan yang ketara," katanya.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, harga MSM diunjur kekal kukuh, pada purata RM3,800 bagi setiap tan memandangkan kenaikan bekalan selaras dengan pertambahan permintaan. 

 

Katanya, walaupun pendapatan sektor perladangan tidak menentu disebabkan turun naik harga MSM, minyak sawit adalah penting dalam rantaian makanan.

 

“Kami menjangkakan keuntungan industri huluan yang lebih baik pada harga MSM yang kukuh dan kos yang lebih rendah, tetapi keuntungan hiliran yang lemah akan berterusan kesan persaingan yang timbul daripada kapasiti penapisan yang berlebihan di rantau ini, dan permintaan yang lemah untuk oleokimia dalam ekonomi global yang lemah.

 

"Sektor ini juga patuh syariah tetapi harga MSM berkemungkinan kekal tidak berubah, justeru tiada pemangkin peningkatan yang menarik untuk suku atau dua suku berikutnya," katanya. - DagangNews.com