Pengarah Media Komunikasi Strategik tamatkan perkhidmatannya di Pejabat Anwar Ibrahim | DagangNews Skip to main content

Pengarah Media Komunikasi Strategik tamatkan perkhidmatannya di Pejabat Anwar Ibrahim

Datuk Wan Nurzila Wan Abd Rahman

PUTRAJAYA 5 Mei - Datuk Wan Nurzila Wan Abd Rahman menamatkan perkhidmatannya sebagai pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri.

 

Setiausaha akhbar kanan perdana menteri, Tunku Nashrul Abaidah mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

 

Sambil berterima kasih kepada Wan Nurzila atas jasanya, beliau berkata Jabatan Media dan Komunikasi Strategik PMO terus menjunjung agenda Malaysia Madani sambil menyebarkan maklumat berdasarkan dasar yang digariskan oleh kerajaan perpaduan.

 

“Pejabat Perdana Menteri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Wan Nurzila Wan Abd Rahman sepanjang memegang jawatan sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik.

 

“Jabatan Media dan Komunikasi Strategik akan terus komited dalam memastikan agenda Malaysia Madani dan penyebaran maklumat kepada segala usaha dan inisiatif Kerajaan Perpaduan terus diperkasakan,” katanya.

 

Semalam, beberapa portal berita dalam talian telah memetik sumber yang mengatakan Wan Nurzila diberi notis 24 jam untuk mengosongkan jawatannya.

 

Satu sumber memberitahu portal berita bahawa pemergiannya dari pejabat mungkin ada kaitan dengan masalah yang timbul daripada beberapa puak komunikasi dalam jentera perdana menteri yang membawa "kepada ketidakberkesanan kempen Malaysia Madani".

 

Difahamkan, jawatan itu juga akan ditamatkan, dengan semua komunikasi PMO dikendalikan oleh pasukan setiausaha akhbar.

 

Wan Nurzila adalah bekas wartawan di agensi berita nasional Bernama dan pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada dua anggota kabinet. - DagangNews.com