Pengasas Gading Kencana dilantik sebagai Prof Adjung UPSI | DagangNews Skip to main content

Pengasas Gading Kencana dilantik sebagai Prof Adjung UPSI

Pengasas dan Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn Bhd, Datuk Dr Ir Muhammad Guntor Mansor Tobeng. - Gambar The Star

 

 

SHAH ALAM 23 Jun - Pengasas dan Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn Bhd, Datuk Dr Ir Muhammad Guntor Mansor Tobeng dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Sains dan Matematik (FSM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff mengumumkan perlantikan tersebut bermula untuk tempoh 1 Jun lalu sehingga 30 Mei 2023.

 

Beliau berkata, pelantikan berkenaan sebagai usaha merapatkan jurang antara universiti dengan industri dalam membentuk kebersamaan yang dapat membantu universiti dalam memberi idea, terutama pembinaan program akademik yang menyediakan pelajar diperlukan industri sebelum memasuki dunia pekerjaan kelak.

 

"Pemilihan beliau sebagai Profesor Adjung di FSM UPSI adalah berdasarkan pengalamannya yang sangat luas di dalam industri solar serta inovasi yang pernah beliau lakukan berkaitan bidang tenaga yang boleh diperbaharui ini di dalam dan luar negara.

 

"UPSI yakin, beliau akan berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif demi memastikan graduan yang dihasilkan dapat menempatkan diri di dalam dunia kerjaya," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Gading Kencana ketika ini memiliki dan mengoperasikan dua ladang solar berskala besar. Ladang solar di Bidor, Perak berkeupayaan menjana tenaga elektrik berkapasiti 30 megawatt (MW) dan di Melaka berkapasiti 11.5 juta kilowatt (kW).

 

Syarikat itu juga akan membina ladang solar ketiga berkapasiti 30 megawalt dengan nilai pelaburan sebanyak RM150 juta di Bidor awal tahun depan. - DagangNews.com