Pengasas Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik Pro-Canselor UTeM | DagangNews Skip to main content

Pengasas Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik Pro-Canselor UTeM

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pengasas Kumpulan Perbankan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkuat kuasa 1 Mei 2024 hingga 30 April 2027.

 

UTeM dalam satu kenyataan pada Rabu mengumumkan Canselor UteM, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam telah menyampaikan watikah pelantikan beliau pada Selasa.

 

“Pelantikan Abdul Rashid adalah selaras dengan momentum kecemerlangan UTeM yang terus menempa pelbagai kejayaan gemilang dalam negara dan turut mengharumkan nama di persada dunia,” kata kenyataan itu.

 

Abdul Rashid merupakan pengasas Kumpulan RHB, beliau bermula sebagai syarikat broker saham Rashid Hussain Securities Sdn Bhd pada 1983 sebelum mengembangkannya menjadi salah satu kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu terbesar di Malaysia.

 

Sebelum ini, beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi pertama Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari 1994 hingga 1998, selain dilantik sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari 1995 hingga 2000.

 

Abdul Rashid juga pernah berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Malaysian Airline System Bhd dari 1993 hingga 1997 dan Cycle & Carriage Bintang Bhd dari 1993 hingga 2008.

 

Sebagai ahli pengasas dan Pengerusi Yayasan Pertukaran Fellowship Perdana Menteri Malaysia yang ditubuhkan pada 1993, Abdul Rashid berperanan dalam memupuk budaya pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat merentasi semua bidang.

 

Baru-baru ini, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) bermula Disember 2023.- DagangNews.com