Pengawalseliaan vape bolehkan kawalan lebih ketat dilaksanakan terhadap penggunaan vape remaja | DagangNews Skip to main content

Pengawalseliaan vape bolehkan kawalan lebih ketat dilaksanakan terhadap penggunaan vape remaja

Vape

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Persoalan berikut menjadi pertimbangan penting dalam usaha pengawalseliaan vape di seluruh dunia – bagaimana kita boleh memastikan vape tidak sampai ke tangan golongan di bawah umur, dan pada masa yang sama, tidak menghalang berjuta-juta perokok dewasa untuk mendapatkan produk vape yang terbukti berkesan sebagai alternatif yang lebih selamat. 

 

Di UK yang sudah pun melaksanakan kawal selia vape, insiden penggunaan vape dalam kalangan remaja kini berada pada tahap minimum. 

 

Satu laporan pada 2021 oleh Tindakan Terhadap Merokok dan Kesihatan atau Action on Smoking and Health (ASH), yang mengkaji penggunaan e-rokok atau vape dalam kalangan belia di Great Britain, mendapati bahawa sebahagian besar remaja berusia 11-18 tidak pernah mencuba atau tidak tahu tentang e-rokok (83%). Penemuan ini kekal konsisten sejak 2017.

 

Tinjau selidik ini seterusnya mendapati bahawa penggunaan vape agak rendah dalam kalangan remaja yang tidak pernah merokok. 

 

Daripada kumpulan remaja ‘tidak pernah merokok’ yang berumur 11-18 tahun, sebahagian besar daripada mereka, iaitu 94.1% secara keseluruhan, tidak pernah menggunakan vape (87.9%) atau tidak tahu tentang vape (6.2%).

 

Pusat Pilihan Pengguna atau Consumer Choice Center (CCC), dalam satu laporan dasar bertajuk Age Restrictions of Vape Products (Sekatan Umur Terhadap Produk Vape) yang diterbitkan baru-baru ini, telah berkongsi contoh dan amalan terbaik daripada pasaran vape yang sedia ada dan industri lain yang relevan, yang boleh diguna pakai dan diamalkan oleh negara-negara seperti Malaysia di mana vape digunakan secara meluas tetapi tidak dikawal selia. 


 

Untuk mencegah produk daripada jatuh ke tangan golongan di bawah umur, CCC mengemukakan cadangan berikut;

  • Memperkenalkan peraturan pintar dan menguatkuasakan had umur ketat terhadap (peranti dan cecair vape di tempat jualan. 
  • Gunakan teknologi pengesahan umur yang moden untuk jualan dalam talian.
  • Ambil iktibar daripada industri lain seperti alkohol dan bunga api tentang cara meningkatkan kadar pematuhan. 
  • Perniagaan runcit dan industri seharusnya digalakkan untuk memainkan peranan secara proaktif dalam penguatkuasaan peraturan. 
  • Jangan menghukum pengguna vape dewasa yang sah kerana ketiadaan pelaksanaan sekatan umur. 

 

Menurut Fred Roeder, Pengarah Urusan Pusat Pilihan Pengguna, “daripada mengambil langkah drastik seperti mengharamkan vape, yang akan menyebabkan lebih ramai pengguna menggunakan produk haram, di pasaran gelap yang tidak dikawal selia, pendekatan yang lebih terselaras oleh pihak berkuasa kawal selia dan juga industri seharusnya diterokai.” 

 

Fred Roeder
Fred Roeder.

 

“Kami percaya peraturan dengan penguatkuasaan ketat terhadap larangan jualan kepada orang di bawah umur membezakan pengguna dewasa yang berhak membuat pilihan dan golongan yang belum mencapai umur sah di bawah undang-undang untuk membuat keputusan sendiri.” 

 

Laporan dasar tersebut juga memberikan contoh dari UK yang menunjukkan kawalan dilaksanakan bagi menghalang golongan di bawah umur daripada membeli produk dengan sekatan umur. 

 

Satu contoh penyelesaian yang dilaksanakan ialah AgeChecked, sebuah sistem penentusahan umur dalam talian yang meminta nama penuh, alamat pengebilan dan tarikh lahir pembeli semasa membuat pesanan.

 

Maklumat ini mesti dimasukkan kerana ia akan muncul dalam lesen memandu, daftar undi atau digunakan untuk kad kredit UK. 

 

Untuk kedai fizikal, peserta industri boleh mencontohi inisiatif runcit UK iaitu ‘Challenge 25’, sebuah projek yang dibangunkan oleh Kumpulan Piawaian Peruncitan Alkohol yang mewajibkan kakitangan meminta pembeli yang nampak lebih muda daripada 25 tahun untuk memberikan bukti pengenalan umur. 

 

Kempen ini ialah contoh yang baik di mana perniagaan runcit meningkatkan sistem penentusahan umur tanpa peraturan atau larangan tambahan. - DagangNews.com