Pengedaran kit ujian kendiri COVID-19 perlu melalui farmasi komuniti berlesen - KKM | DagangNews Skip to main content

Pengedaran kit ujian kendiri COVID-19 perlu melalui farmasi komuniti berlesen - KKM

Pengedaran kit ujian kendiri COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Syarikat yang diberi kelulusan bersyarat untuk mengedarkan kit-kit ujian COVID-19 perlu melalui farmasi komuniti berlesen dan fasiliti kesihatan yang dibenarkan.

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, perkara tersebut adalah salah satu syarat yang ditetapkan dalam kelulusan bersyarat dan syarat-syarat pengimportan dan pengedaran kit ujian berkenaan.

 

Menurut KKM, syarat berkenaan dibuat bertujuan untuk memastikan kawalan dari segi penggunaan dalam kalangan orang awam yang masih perlu mendapat pandangan profesional mengenai teknik yang betul bagi mengelakkan berlaku keputusan negatif palsu mahupun positif palsu.

 

Keduanya, ia bertujuan untuk mendidik pengguna mengenai langkah keselamatan dan kebersihan semasa menjalankan ujian dan langkah pelupusan selepas penggunaanya supaya tiada individu lain yang terdedah.

 

Di samping itu, ia membantu memudahkan pengesanan pengguna jika terdapat masalah berkaitan penggunaan kit-kit ujian tersebut.

 

.

 

 

Hingga kini, sebanyak enam kit ujian kendiri COVID-19 yang telah melepasi prestasi dan memenuhi keperluan yang ditetapkan telah diberikan kelulusan bersyarat.

 

Kesemua kit yang diberi kelulusan itu telah dibekalkan ke farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan untuk dibeli orang ramai.

 

"KKM ingin menasihatkan orang awam supaya memounyai kesedaran dan disiplin kendiri yang tinggi terutama apabila mendapat kelulusan ujian positif dengan memaklumkan kepada pihak berwajib, membuat pengesanan kontak dan menjalankan pengasingan kendiri.

 

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya melupuskan kit-kit ujian yang telah digunakan dengan cara yang betul untuk mengelakkan kemungkinan penularan yang tidak diingini," jelas KKM lagi. - DagangNews.com