Pengeluaran getah asli Jun 2020 naik 59.3% | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli Jun 2020 naik 59.3%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 59.3% pada Jun 2020 kepada 33,531 tan metrik berbanding 21,044 tan metrik pada bulan sebelumnya. 

Perbandingan tahun ke tahun pula menunjukkan penurunan sebanyak 8.9% berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 38,587 tan metrik pada Jun 2020, meningkat sebanyak 14.2% berbanding 33,780 tan metrik pada Mei 2020.

 

Mohd Uzir
Mohd. Uzir Mahidin

 

“China masih menjadi destinasi utama eksport getah asli iaitu 68.1% daripada jumlah eksport pada Jun 2020 diikuti Finland (4.2%), Jerman (3.8%), Amerika Syarikat (2.9%) dan Taiwan (2.7%). 

“Sarung tangan getah masih menjadi item eksport utama dengan nilai eksport meningkat sebanyak 30.7% daripada RM2.13 billion pada Mei 2020 kepada RM2.78 billion pada Jun 2020,” kata Mohd. Uzir menerusi laporan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia, Jun 2020.

Jadual DOSM

Dalam pada itu, stok getah asli terus mencatatkan penurunan pada Jun 2020 sebanyak 12.6% kepada 254,105 tan metrik berbanding 290,607 tan metrik pada Mei 2020.

Harga purata bagi lateks pekat merekodkan peningkatan kepada 479.90 sen sekilogram berbanding Mei 2020 (432.16 sen sekilogram). 

Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut meningkat kepada 484.33 sen sekilogram berbanding 470.13 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

Jadual DOSM

Jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 44,217 tan metrik, meningkat sebanyak 8.7% berbanding bulan sebelumnya. 

“Pembuatan sarung tangan getah mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu sebanyak 34,358 tan metrik atau 77.7% daripada jumlah penggunaan domestik,” tambah beliau. - DagangNews.com