Pengeluaran getah asli Malaysia melonjak 27% pada Julai 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia melonjak 27% pada Julai 2024 - DOSM

KUALA LUMPUR 11 Sept - Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat sebanyak 27% kepada 37,960 tan pada Julai 2024 berbanding 29,881 tan yang dicatatkan semasa Jun 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Perbandingan dari tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menokok 33% daripada 28,533 tan metrik pada Julai 2023.

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli Julai telah dipacu oleh sektor pekebun kecil pada 87.5% berbanding hanya 12.5% oleh sektor estet.

 

“Jumlah stok getah asli pada Julai 2024 menurun 7.6% kepada 148,096 tan metrik daripada 160,352 tan metrik pada bulan sebelumnya, manakala kilang pemproses getah menyumbang 88.7% daripada stok diikuti oleh kilang pengguna getah (11.1%) dan ladang getah (0.2%),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

getah

 

Manakala, eksport getah asli Malaysia mencecah paras 48,199 tan metrik pada Julai 2024, bertambah 21.1% berbanding Jun 2024 (39,803 tan metrik), disumbangkan oleh produk-produk getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah.

 

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 30% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Julai 2024 diikuti Emiriyah Arab Bersatu (12.3%), India (11.6%), Jerman (10.6%) dan Amerika Syarikat (AS) (6.7%).

 

“Sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah dengan nilai RM1.4 bilion pada Julai 2024, melonjak 11.2% berbanding Jun 2024 (RM1.2 bilion),” katanya.

 

Memetik laporan Malaysia Rubber Board Digest yang diterbitkan pada Julai 2024, DOSM berkata, pasaran getah Kuala Lumpur adalah bercampur-campur semasa tempoh tinjauan dengan harga SMR 20 bergerak dalam jajaran kecil.

 

Sementara itu, harga lateks pekat (60% kandungan getah kering), merosot sepanjang bulan sebelum pulih sedikit menjelang akhir bulan.

 

Secara amnya, sentimen pasaran disokong oleh bekalan getah asli yang agak terhad akibat kebimbangan ramalan cuaca buruk di kebanyakan negara pengeluar serta disokong oleh data ekonomi AS yang positif dan ditambah dengan harapan lebih banyak langkah rangsangan yang didorong oleh prestasi ekonomi China yang lemah. - DagangNews.com