KUALA LUMPUR 10 Sept. - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) merosot 5.2% pada Julai 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, kejatuhan pertama sejak November 2020, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, kejatuhan ini disumbangkan oleh penyusutan dalam indeks pembuatan (-6.5%) dan indeks elektrik (-6.6%).
Sementara itu, katanya, indeks perlombongan merekodkan kenaikan 0.6%.
"Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun menurun 6.5% pada Julai 2021 selepas mencatatkan kejatuhan 0.2% pada Jun 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.
Subsektor yang mempengaruhi kemerosotan dalam sektor pembuatan pada Julai 2021 adalah kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (-43.8%), produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (-27.6%) dan produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (-23.7%).
Industri berorientasikan domestik menyusut 24.7% manakala industri berorientasikan eksport tumbuh sebanyak 1.9%.
Output sektor perlombongan tumbuh 0.6% pada Julai 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan tersebut dipacu oleh peningkatan 4.1% dalam indeks gas asli manakala Indeks minyak mentah & kondensat pula berkurang 3.6%.
Output sektor elektrik merosot 6.6% pada Julai 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com