Pengeluaran minyak sawit mentah diunjur terus lemah pada April 2024 kesan ketiadaan pekerja, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran minyak sawit mentah diunjur terus lemah pada April 2024 kesan ketiadaan pekerja, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 April - AmInvestment Bank Research menjangkakan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) terus lemah pada April 2024 kesan ketiadaan pekerja yang pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

Katanya, pengeluaran dan inventori sawit hanya akan mula mencatatkan peningkatan pada Mei 2024 dan seterusnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, inventori sawit Malaysia sebanyak 1.7 juta tan pada Mac 2024 adalah lebih rendah berbanding anggaran konsensus Bloomberg sebanyak 1.8 juta tan.

 

"Penggunaan domestik produk sawit meningkat sebanyak 7.8% dari tahun ke tahun kepada 1.1 juta tan pada suku pertama tahun ini, disokong oleh aktiviti pengangkutan dan sektor hotel, restoran dan kafe (HORECA) yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, pada asas bulanan, penggunaan domestik susut sebanyak 15.4% kepada 313,563 tan pada bulan lalu apabila aktiviti ekonomi sedikit perlahan pada bulan puasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Stok minyak sawit Malaysia susut lebih 10% pada Mac 2024, kekal di bawah 2 juta tan

 

AmInvestment berkata, import sawit menjunam sebanyak 59.4% kepada 116,181 tan pada suku pertama tahun ini berbanding 286,099 tan bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Firma penyelidikan itu mengaitkan perkara itu dengan permintaan global yang lemah untuk produk oleokimia dan perbezaan harga yang kecil antara MSM di Malaysia dan Indonesia. 

 

"Cukai dan levi eksport MSM Indonesia tidak berubah pada AS$118/tan (RM555/tan) pada bulan lalu," katanya.

 

Eksport MSM susut 1.6% kepada 3.7 juta tan pada suku pertama tahun ini berbanding kenaikan 3.4% dalam pengeluaran. Pada asas bulanan, eksport MSM melonjak sebanyak 28.6% kepada 1.3 juta tan pada bulan sama.

 

Menurut Intertek, penghantaran sawit Malaysia ke India meningkat sebanyak 42.6% pada Mac 2024 manakala eksport ke China tidak berubah manakala penghantaran sawit ke Kesatuan Eropah (EU) susut 14.5%.

 

"Kami mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor perladangan dan percaya harga MSM akan mula stabil bermula Mei ini apabila memasuki tempoh pengeluaran puncak pada separuh kedua tahun ini," katanya.- DagangNews.com