Pengeluaran Supermax dijangka meningkat 85% menjelang FY23 | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran Supermax dijangka meningkat 85% menjelang FY23

Supermax

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Kapasiti pengeluaran produk sarung tangan getah syarikat Supermax Corporation Berhad (Supermax) dijangka meningkat sebanyak 85% menjelang akhir tahun kewangan Jun 2023 (FY6/23F).

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada penambahan lima buah kilang baharu.

 

"Kami menjangkakan kapasiti pengeluaran Supermax akan meningkat 85% kepada 48.4 bilion keping (sarung tangan) dengan penambahan lima kilang baharu menjelang akhir akhir FY6/23F.

 

"Jangkaan itu dibuat dengan andaian bahawa tidak akan berlaku sebarang kelewatan," jelas CGS-CIMB Research.

 

Supermax mempunyai tunggakan pesanan semasa sekurang-kurangnya hingga akhir suku pertama 2022. 

 

Ia didorong oleh permintaan sarung tangan global yang tinggi sekali gus memberi kelebihan kepada Supermax untuk terus bertahan hingga satu tahun setengah hingga dua tahun ke hadapan.

 

Syarikat tersebut juga menjangkakan purata harga jualan (ASP) kekal pada landasan kenaikan sekurang-kurangnya hingga akhir suku ketiga tahun kewangan Jun 2021.

 

ASP Supermax dijangka tidak seharusnya berlaku penurunan hingga akhir separuh pertama tahun kewangan Jun 2022. 

 

CGS-CIMB Research mengambil pendekatan mengekalkan saranan 'tambah' saham Supermax dengan harga sasaran saham (TP) yang lebih rendah iaitu sebanyak RM10.80.

 

"Kami berpendapat Supermax kekal dengan kedudukan yang baik disokong oleh permintaan sarung tangan global yang kukuh, margin yang lebih tinggi dan hasil dividen yang kukuh iaitu 3.3% hingga 6.7% ((FY21-23F)," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com