Pengenalan CRESS diunjur tingkatkan penggunaan tenaga hijau dengan ketara, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pengenalan CRESS diunjur tingkatkan penggunaan tenaga hijau dengan ketara, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Pengenalan Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) diunjur meningkatkan penggunaan tenaga hijau dengan ketara, kata RHB Investment.

 

Katanya, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar dengan meningkatkan pesanan komersial dan perindustrian (C&I) mereka.

 

"Walaupun banyak yang masih dibincangkan dengan kerajaan, pengenalan CRESS mewakili langkah progresif ke arah pembaharuan industri kuasa, yang membawa kepada pasaran yang lebih liberal dan berdaya saing.

 

"Perubahan itu juga memberi peluang kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) sedia ada untuk menjual output tenaga mereka kepada pelanggan baharu selepas perjanjian pembelian kuasa (PPA) mereka tamat tempoh.

 

"Kami percaya ini boleh menarik lebih ramai pemain untuk menjadi pengeluar kuasa tenaga hijau, dengan keupayaan untuk merundingkan harga langsung bagi elektrik hijau," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CRESS diperkenal mulai Sept 2024 bagi tingkatkan akses korporat kepada RE - PETRA

 

RHB Investment berkata, inisiatif itu menyediakan fleksibiliti kepada syarikat dalam memilih sumber tenaga, membantu mereka memenuhi sasaran kemampanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Ia juga menawarkan keupayaan untuk melindung nilai terhadap turun naik masa depan dalam kadar elektrik hijau.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kesan CRESS ke atas perniagaan penghantaran dan pengedaran Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjadi neutral dalam tempoh terdekat, kerana ini mungkin akan dijadualkan di bawah pendapatan terkawal.

 

"Sekiranya kita melihat peningkatan yang lebih kukuh dalam input tenaga boleh diperbaharui (RE) domestik, perbelanjaan modal yang lebih tinggi dalam aset penghantaran dan pengedaran (T&D) akan meluaskan asas pendapatan terkawalnya juga dalam jangka panjang.

 

"Kami menjangkakan kuota keseluruhan untuk keseluruhan program bagi memastikan kestabilan grid, serta kuota bagi setiap projek, mungkin ditetapkan pada 30 megawatt (MW), yang serupa dengan Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP)," katanya.

 

RHB Investment percaya, CRESS akan dimulakan selepas tamatnya program solar berskala bersar 5 (LSS5), memandangkan keperluan untuk memastikan titik sambungan yang jelas ke grid.

 

Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap industri kuasa, dengan pilihan utamanya ialah TNB, YTL Power International Bhd dan Samaiden Group Bhd. - DagangNews.com